SOP tarawih, imarah masjid pada Ramadan belum diputuskan

Idris (tiga dari kiri) menyempurnakan simbolik penyerahan cek bantuan tablet kepada pelajar asnaf di PPR Kampung Baru Air Panas pada Khamis.
Idris (tiga dari kiri) menyempurnakan simbolik penyerahan cek bantuan tablet kepada pelajar asnaf di PPR Kampung Baru Air Panas pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan belum memutuskan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) solat tarawih dan imarah masjid sepanjang bulan Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sebarang perubahan SOP adalah bergantung kepada situasi semasa dan saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Setakat hari ini kita belum putuskan SOP Ramadan tetapi tidak bermakna masjid ditutup. Garis panduan mungkin menggunakan SOP sedia ada atau dilonggarkan.

"Ia bergantung kepada keadaan dan nasihat KKM kemudian kita akan berbincang dengan pihak berkuasa agama negeri," katanya mengulas SOP imarah masjid dan surau sepanjang Ramadan.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran sumbangan tablet kepada pelajar dan bantuan wifi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Surau Jumaat At-Taqwa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Mohd Daud Bakar dan Pengerusi Pertubuhan Dana Kita, Mohd Fadli Mohamed Salleh.

Mengenai program itu, Idris berkata, MAIWP memperuntukkan sebanyak RM9.3 juta bagi bantuan tablet kepada 5,000 pelajar asnaf dan RM600, 000 bagi pemasangan wifi di dewan atau surau melibatkan sepuluh PPR terpilih di Wilayah Persekutuan.

Selain itu katanya, MAIWP turut menyalurkan peruntukan RM614,000 kepada Pertubuhan Dana Kita bagi melaksanakan makmal internet bergerak menggunakan sebuah bas dilengkapi kemudahan komputer dan internet yang akan ke kawasan kediaman penduduk sekitar Kuala Lumpur secara berkala.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, peruntukan tersebut adalah amanah daripada pengeluar zakat untuk disampaikan kepada golongan memerlukan terutama bagi mengurangkan bebanan masyarakat yang terkesan dengan pandemik.

"Pada masa sama kita mahu membantu anak-anak kurang berkemampuan mendapatkan pendidikan yang lebih baik.

"Melalui kemudahan tablet dan capaian internet membolehkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.