Mungkin masih ada rakyat Malaysia di Ukraine: Saifuddin

Saifuddin (kiri) bersama-sama Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman mengadakan taklimat sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri di Bangunan MBJB, Johor Bahru, pada Khamis.
Saifuddin (kiri) bersama-sama Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman mengadakan taklimat sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri di Bangunan MBJB, Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Luar tidak menolak kemungkinan masih terdapat seorang dua individu warganegara Malaysia yang tidak berdaftar dengan pihak kedutaan masih berada di Ukraine.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, itu antara maklumat tidak rasmi yang diperoleh pihaknya setakat ini.

Menurut beliau, sekiranya masih ada rakyat Malaysia yang berada di negara tersebut dan memerlukan bantuan, mereka diminta menghubungi kedutaan Malaysia di Warsaw, Poland.

"Ketika ini, status kedutaan Malaysia di Ukraine sedang tergantung kerana tiada pegawai bertugas di negara terbabit, namun kita tahu kemungkinan ada seorang dua rakyat Malaysia yang tidak berdaftar masih berada di negara berkenaan.

"Kita memang tidak pernah wajibkan mana-mana rakyat Malaysia yang keluar negara untuk berdaftar, namun dalam situasi berlaku bencana atau tragedi seperti ini, kita akan tetap cuba membantu mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini pada Khamis.

Mengenai konflik antara Rusia dan Ukraine ketika ini, beliau berkata, Malaysia menyokong resolusi 'Tindakan Keganasan Ke Atas Ukraine' bersama 140 negara antarabangsa lain.

"Dalam undian itu, 141 negara menyokong termasuk Malaysia, lima negara membantah manakala 35 mengambil pendirian berkecuali.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun Malaysia mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara, namun kita tetap berpegang kepada prinsip menghormati kedaulatan, integriti dan kemerdekaan sesebuah negara," katanya.

Beliau berkata, Malaysia berpandangan kedua-dua negara terlibat perlu mencari jalan penyelesaian melalui dialog dan rundingan damai.

Pada 1 Mac lalu, media melaporkan tujuh rakyat Malaysia bersama-sama dua tanggungan warga asing yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Ukraine telah selamat tiba di tanah air pada jam 3.06 petang.