Tiada aktiviti pembalakan haram di Tasik Kenyir

Laporan Sinar Harian hari ini mengenai dakwaan penduduk bahawa bahawa aktiviti pembalakan berdekatan kawasan Tasik Kenyir menjadi punca banjir sejak Isnin.
Laporan Sinar Harian hari ini mengenai dakwaan penduduk bahawa bahawa aktiviti pembalakan berdekatan kawasan Tasik Kenyir menjadi punca banjir sejak Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu menafikan berlakunya aktiviti pembalakan haram yang di dakwa menjadi punca runtuhan beberapa kawasan lereng bukit berhampiran Empangan Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud dekat Jangor, Hulu Terengganu, Ahad lalu.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, taklimat daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan situasi itu berpunca daripada gelinciran tanah sehingga menyebabkan tanah runtuh berhampiran Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Tasik Kenyir.

"Tiada sebarang aktiviti pembalakan secara haram di sekitar Tasik Kenyir sehingga membawa impak kemusnahan yang sangat besar ketika banjir itu.

"Ketika tanah runtuh berlaku juga fenomena 'kepala air' yang turut menyebabkan banyak pokok-pokok berhampiran, sampah sarap yang lama, juga sisa kayu dahan dan ranting yang mati dihanyutkan ke dalam sungai.

"Keadaan itu menyebabkan seolah-olah berlakunya 'banjir puing' kerana ada video yang tular di media sosial yang memaparkan ratusan kayu hanyut didakwa sebagai balak oleh orang ramai," katanya di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak termasuk netizen yang polemikkan maklumat itu di media sosial.

Roslan berkata, situasi berlaku di Tasik Kenyir sama dengan kejadian di Bentong, Pahang ketika bencana banjir melanda kawasan itu akhir tahun lalu

"Kita akan membuat semakan lanjut dengan mengambil gambar menggunakan dron dan koordinat yang tepat lokasi terlibat serta membuat pemetaan pelan perancangan dan tindakan lanjut yang boleh digunakan untuk kajian bagi mengenal pasti langkah-langkah yang lebih baik di kawasan terjejas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, beliau bersama Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman serta wakil TNB meninjau situasi di Empangan Jenagor dan Tasik Kenyir.

TNB dalam kenyataan pada Rabu memberitahu operasi SJSM ditutup sementara bermula Ahad berikutan menara penghantaran voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik dari SJSM kepada Grid Nasional tumbang disebabkan tanah runtuh.