Chelsea untuk dijual

Chelsea
Chelsea
A
A
A

AHLI perniagaan Rusia, Roman Abramovich akan menjual kelab bola sepak Chelsea selepas menjadi pemilik pasukan London itu selama 19 tahun dan berjanji wang hasil jualan The Blues itu akan didermakan bagi membantu mangsa-mangsa perang di Ukraine.

Menurut Abramovich, tindakan itu dibuat bagi menjaga kepentingan semua pihak termasuklah demi kebaikan juara bertahan Eropah itu dan bola sepak dunia.

“Dalam situasi sekarang, saya telah mengambil keputusan untuk menjual kelab selepas 19 tahun memilikinya.

“Saya percaya keputusan ini adalah untuk kepentingan terbaik buat kelab, peminat, pekerja, serta penaja dan rakan kongsi kelab,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Abramovich turut memberitahu bahawa dia tidak akan meminta pinjaman yang telah dibuatnya kepada kelab Liga Perdana itu yang dilaporkan berjumlah 1.5 bilion pound (RM8.43bilion) untuk dibayar semula.

Tambahnya lagi, seorang pembantu telah dilantik untuk menubuhkan sebuah yayasan kebajikan yang akan berfungsi bagi menerima semua hasil bersih daripada penjualan itu.

"Yayasan itu akan memberi manfaat kepada semua mangsa perang di Ukraine yang sangat terkesan ketika ini.

"Ini termasuklah yayasan itu akan menyediakan dana kritikal untuk keperluan mendesak dan segera bagi mangsa, selain akan menyokong kerja pemulihan jangka panjang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, jutawan Switzerland Hansjorg Wyss dan orang terkaya Britain Jim Racliffe yang juga peminat Chelsea, dikatakan berminat membeli kelab London itu.