PN tawar air percuma jika menang PRN Johor

Muhyiddin menunjukkan buku Ikrar Perikatan Nasional 'Demi Bangsa Johor' yang dilancarkannya di sebuah hotel di Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin menunjukkan buku Ikrar Perikatan Nasional 'Demi Bangsa Johor' yang dilancarkannya di sebuah hotel di Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) membuat tawaran air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah di Johor sekiranya menang dalam pilihan raya negeri itu pada 12 Mac ini.

Pemberian air percuma berkenaan merupakan antara tawaran yang terkandung dalam Ikrar Manifesto PN yang dilancarkan di sini pada Rabu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN akan akan terus berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat Johor bagi meringankan beban yang ditanggung.

Katanya, nasib golongan penjaja yang terkesan dengan pandemik Covid-19 akan dibela PN menerusi penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, PN turut prihatin terhadap nasib masyarakat Felda dengan merangka pelbagai usaha bagi memastikan kesejahteraan warga Felda dapat ditingkatkan.

"PN akan pastikan projek perumahan generasi baharu Felda yang sedang dibaik pulih disiapkan segera dan projek perumahan generasi baharu Felda terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih akan diselamatkan.

"Penglibatan warga Felda dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi akan dipergiat melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan.

"Selain itu, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu Felda bagi tujuan pembinaan rumah oleh generasi baharu Felda ditetapkan pada kadar RM1 sekaki persegi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Muhyiddin, kerajaan PN sebelum ini telah membuktikan keprihatin terhadap masyarakat Felda dengan menghapus kira-kira RM8.3 bilion hutang peneroka Felda.

"Walaupun tempoh pentadbiran PN singkat hanya 18 bulan sahaja, tetapi atas dasar keprihatin kita terhadap masyarakat Felda di negara ini, PN telah berjaya melakukan perkara yang gagal dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) selama berpuluh tahun mereka memerintah.

"Untuk rekod, BN tambah hutang Felda, PN hapus hutang peneroka Felda," katanya.