Tahan sakit jawab peperiksaan SPM

Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, Pasir Gudang tekun menjawab kertas soalan Bahasa Melayu ketika tinjauan hari pertama SPM 2021 di sekolah tersebut. - Foto Bernama
Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, Pasir Gudang tekun menjawab kertas soalan Bahasa Melayu ketika tinjauan hari pertama SPM 2021 di sekolah tersebut. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Walaupun terpaksa menahan sakit di bahagian pinggang dan luka di siku akibat kemalangan petang semalam, seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nekad meneruskan peperiksaan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, Zahiruddin Zulkarnain, 18, yang mengalami kemalangan selepas terjatuh dari motosikal di Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (JB EDL) menghala ke Permas berkata, beliau tidak sanggup menunda kertas peperiksaan Bahasa Melayu hari ini (Rabu) kerana telah membuat persiapan sebaiknya dan tidak mahu gagal dalam SPM.

Katanya, kertas Bahasa Melayu sangat penting dan beliau sanggup menunggu, menahan kesakitan sehingga selesai peperiksaan petang nanti, sebelum mendapatkan rawatan di klinik.

Menurutnya kemalangan berlaku pada kira-kira pukul 6.40 petang semasa beliau dalam perjalanan untuk berjumpa saudaranya di Stulang dengan menunggang motosikal.

"Secara tiba-tiba di kiri kanan saya, saya dihimpit sebuah lori besar dan sebuah kereta. Saya terkejut, dan menekan brek sebelum terjatuh dan hampir digilis lori, namun saya sempat menendang tayar lori, dan terpelanting, saya gagahkan diri untuk lari ke tepi jalan.

"Lepas kejadian, banyak klinik tutup jadi saya tidak mendapatkan rawatan di mana-mana namun selepas tamat kertas (Kertas Bahasa Melayu 2) petang ini, ibu dan ayah akan bawa saya ke klinik berdekatan," katanya ketika ditemui pemberita di SMK Kota Masai di sini pada, Rabu.

Zahiruddin berkata, sepanjang lebih dua jam menjawab peperiksaan Kertas Bahasa Melayu 1 pagi tadi beliau turut berbaring dan berehat untuk mengurangkan rasa sakit terutamanya di bahagian pinggang.

Hari ini 407,097 pelajar menduduki peperiksaan SPM 2021 di 3,000 pusat peperiksaan seluruh negara dengan 50,317 daripada mereka merupakan calon di negeri ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: