Laluan ke sekolah ditenggelami air, ATM bantu angkut calon SPM

Calon SPM 2021 menduduki peperiksaan pada hari pertama di SMK Zainab 1, Kota Bharu pada Rabu.
Calon SPM 2021 menduduki peperiksaan pada hari pertama di SMK Zainab 1, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mendapatkan bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengangkut 141 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kiambang, Pasir Mas susulan laluan masuk ke pusat berkenaan ditenggelami banjir.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Datuk Phakaruddin Ghazali berkata, menerusi kerjasama itu ATM telah menyediakan dua buah lori tiga tan untuk membawa calon SPM ulang-alik ke pusat berkenaan.

"Kita ambil pelajar ini bermula dari jalan besar dan menghantar mereka secara terus ke SMK Seri Kiambang.

"Perkhidmatan ini kita akan sediakan sehingga laluan masuk boleh dilalui seperti biasa menggunakan kenderaan ringan," katanya kepada pemberita semasa turun padang meninjau hari pertama peperiksaan SPM 2021 di SMK Zainab I di sini pada Rabu.

Menurutnya, anggota ATM yang terlibat akan bergilir-gilir melaksanakan tugas itu sehingga selesai dan keadaan menjadi normal semula.

Beliau berkata, usaha ini memberikan keyakinan kepada calon untuk melangkah masuk ke dewan peperiksaan dalam keadaan selesa.

Phakaruddin berkata, situasi itu diharapkan dapat membantu membangkitkan lagi semangat calon untuk menempuh peperiksaan tersebut dengan sebaik mungkin selepas tertangguh akibat Covid-19.

"KPM sentiasa menitik beratkan aspek tiga s kepada semua calon SPM iaitu sihat; selamat dan selesa.

Artikel Berkaitan:

"Tiga-tiga elemen ini perlu dilengkapkan oleh pihak kami bagi memastikan emosi calon berada pada tahap terbaik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Phakaruddin berkata, seramai 27,372 orang calon di seluruh negeri ini menduduki SPM bermula pada Rabu.

Katanya, jumlah tersebut melibat 283 pusat peperiksaan di seluruh negeri.