Sembilan individu, tiga syarikat fail saman terhadap CIMB Bank

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sembilan individu dan tiga syarikat yang merupakan pemegang akaun CIMB Bank memfailkan saman terhadap bank itu berhubung pembekuan akaun simpanan dan akaun semasa mereka pada Januari lepas atas alasan disyaki terlibat dalam kegiatan haram serta mencurigakan melibatkan akaun-akaun tersebut.

Kesemua plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Nazmi Zaini Chambers di Mahkamah Tinggi di sini semalam dengan menamakan CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad selaku defendan pertama dan kedua.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif-plaintif yang merupakan pendeposit akaun simpanan dan akaun semasa yang disediakan oleh defendan-defendan itu mendakwa mereka mengetahui akaun-akaun tersebut dibekukan oleh kedua-dua defendan pada 26 Januari hingga 28 Januari 2022.

Mereka mendakwa, setelah mengetahui hal tersebut, pada 31 Januari hingga 4 Februari 2022, mereka telah menghubungi cawangan kedua-dua defendan bagi mendapatkan penjelasan dan telah dimaklumkan bahawa mereka disyaki terlibat dalam kegiatan haram serta mencurigakan yang melibatkan akaun-akaun tersebut.

"Plaintif-plaintif juga dimaklumkan bahawa jumlah (wang) yang dibekukan adalah sebahagian daripada transaksi terapung sementara menunggu penyelesaian transaksi tersebut dan kesemua plaintif dimaklumkan sistem perbankan atas talian defendan-defendan dalam proses penyelenggaraan teknikal,” dakwa kesemua plaintif.

Plaintif-plaintif pada setiap masa yang material mendakwa mereka tidak pernah terlibat atau menjalankan transaksi yang membenarkan defendan-defendan untuk membekukan atau menahan akaun-akaun tersebut.

"Tindakan defendan-defendan membeku atau menahan akaun-akaun tersebut tanpa sebarang alasan yang dibenarkan di dalam Klausa 7, Terma dan Syarat Akaun Simpanan dan Terma dan Syarat Akaun Semasa adalah suatu kemungkiran kontrak antara plaintif-plaintif dan defendan-defendan.

"Tindakan pembekuan atau penahanan akaun-akaun tersebut oleh defendan-defendan, menyebabkan kesemua plaintif mengalami kesukaran, kesulitan dan kepayahan apabila tidak boleh mengguna pakai akaun-akaun tersebut,” dakwa mereka.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kesemua plaintif mendakwa defendan-defendan mempunyai tanggungjawab dan tugas berhati-hati untuk memastikan sebarang tindakan pihak ketiga tidak menjejaskan hak serta kedudukan mereka sebagai pendeposit kepada institusi kewangan itu.

Dakwa plaintif, defendan-defendan telah mengabaikan tugasnya apabila membenarkan kecuaian pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan kiriman wang yang menjejaskan hak dan kedudukan mereka sebagai pelanggan dan pendeposit.

Kesemua plaintif memohon antaranya deklarasi bahawa defendan-defendan telah memungkiri terma dan syarat akaun simpanan serta akaun semasa apabila tindakan defendan-defendan membekukan akaun-akaun tersebut tanpa sebab yang dibenarkan di sisi undang-undang.

Sementara itu, peguam Nazmi Mohd Zaini yang mewakili kesemua plaintif ketika dihubungi pemberita berkata pengurusan kes itu ditetapkan 15 Mac ini secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, S Malarselvi.

Sementara itu, CIMB dalam kenyataan hari ini menafikan dakwaan perlanggaran terhadapnya dan akan mempertahan pendirian berhubung perkara tersebut.

"Walau apapun, seperti yang telah kami tegaskan sebelum ini, CIMB kekal komited bagi memastikan satu penyelesaian yang adil dan terurus dengan pelanggan terjejas," menurut kenyataan itu. - Bernama