'Banjir buruk berlaku sekali dalam seribu tahun'

Penduduk di sekitar Maryborough di Queensland dipindahkan berikutan paras banjir mencecah bumbung kediaman. - Foto: AFP
Penduduk di sekitar Maryborough di Queensland dipindahkan berikutan paras banjir mencecah bumbung kediaman. - Foto: AFP
A
A
A

SYDNEY - Pihak berkuasa Sydney pada Selasa memberi amaran kepada penduduk di ibu kota tersebut supaya bersiap sedia menghadapi hujan lebat dan banjir kilat untuk tempoh dua hari akan datang.

Pengumuman itu dibuat berikutan cuaca buruk melanda pantai timur Australia mula beralih ke New South Wales (NSW) yang berpopulasi paling padat di negara itu.

Biro Meteorologi meramalkan Sydney yang mempunyai populasi lebih lima juta penduduk dan beberapa wilayah jirannya akan mengalami taburan hujan sehingga 150 milimeter dalam tempoh enam jam.

Difahamkan, banjir yang melanda negara itu sejak lewat minggu lalu telah meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa selain menenggelamkan bandar, jalan raya serta jambatan di Queensland dan NSW.

Ketua Menteri NSW, Dominic Perrottet menyifatkan cuaca ekstrem itu sebagai peristiwa yang berlaku ‘sekali dalam tempoh seribu tahun’ dan turut memberi peringatan kepada penduduk di negeri selatan tersebut supaya sentiasa bersedia untuk meninggalkan kediaman mereka apabila diarahkan pihak berkuasa.

“Buat masa ini, sistem cuaca memberi fokus kepada utara. Namun, ia bergerak sangat cepat ke selatan seperti yang kita lihat di Sydney sekarang,” katanya.

Laluan utama di Lawrence yang terletak kira-kira 70 kilometer dari bandar Lismore di NSW ditenggelami banjir. - Foto: AFP
Laluan utama di Lawrence yang terletak kira-kira 70 kilometer dari bandar Lismore di NSW ditenggelami banjir. - Foto: AFP

Banjir luar biasa itu turut menyebabkan ratusan penduduk di bandar utara Lismore di NSW masih terkandas di kediaman masing-masing, malah ada yang terpaksa bermalam di bumbung rumah mereka sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Datuk Bandar Lismore, Steve Krieg mengesahkan seramai sembilan penduduk dilaporkan masih hilang dan lebih 1,000 mangsa berjaya diselamatkan.

Ketika ini, pusat pemindahan sementara turut dibuka di sekolah rendah, pusat rekreasi dan kelab anggota pesara untuk menempatkan penduduk terjejas banjir.

Musim panas di pantai timur Canberra telah didominasi corak iklim La Nina yang biasanya dikaitkan dengan hujan lebat berterusan untuk tahun kedua berturut-turut.

Ia juga dikatakan berpunca daripada impak fenomena perubahan iklim secara mendadak yang melanda dunia. - AFP