16 PPS dibuka khas untuk mangsa banjir positif Covid-19

Sebanyak 16 PPS khas dibuka oleh JKNT bagi menempatkan mangsa banjir yang disahkan positif Covid-19 dan kontak rapat.- Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Kasemani Embong )
Sebanyak 16 PPS khas dibuka oleh JKNT bagi menempatkan mangsa banjir yang disahkan positif Covid-19 dan kontak rapat.- Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Kasemani Embong )
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 16 pusat pemindahan sementara (PPS) khas dibuka oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bagi menempatkan mangsa banjir yang disahkan positif Covid-19 dan kontak rapat.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, empat PPS dibuka di Kuala Terengganu, Kemaman (tiga), Besut (tiga), Hulu Terengganu (dua), Dungun (dua) dan Kuala Nerus (dua).

Menurutnya, setakat ini seramai 127 mangsa banjir terdiri daripada 49 yang positif Covid-19 dan 78 kontak rapat berada di semua PPS tersebut.

"Kesemua mereka hanya berada dalam kategori satu sahaja dan keadaan kesihatan mereka sentiasa dipantau dari semasa ke semasa,” katanya di sini pada Selasa.

Dr Kasemani berkata, pemindahan mangsa banjir disahkan positif Covid-19 dan kontak rapat dilakukan dengan pematuhan SOP yang tinggi sepanjang perjalanan dari rumah hingga ke PPS bagi mengekang jangkitan.

“Sebarang kluster Covid-19 juga tiada berlaku di mana-mana PPS setakat ini dan berharap semua pihak terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang telah ditetapkan kerajaan," katanya.

Hari kelima banjir di Terengganu merekodkan jumlah mangsa dipindahkan kini seramai 16,070 orang melibatkan 4,196 keluarga dan semua mereka ditempatkan di 111 PPS di lapan daerah.

Kemaman kekal sebagai daerah paling teruk terjejas dengan seramai 8,535 orang diikuti Dungun (3,106), Hulu Terengganu (2,156), Kuala Terengganu (709), Kuala Nerus (543), Besut (522) dan Setiu (494).

Artikel Berkaitan: