Kenari Kid Jitra juara sulung KFA Junior Cup

Kenari Kid Jitra singkirkan 16 pasukan lain dari seluruh Kedah untuk muncul juara KFA Junior Cup 2022. - Foto FA Kedah
Kenari Kid Jitra singkirkan 16 pasukan lain dari seluruh Kedah untuk muncul juara KFA Junior Cup 2022. - Foto FA Kedah
A
A
A

KESERASIAN yang tinggi menjadi faktor pasukan Kenari Kid Jitra muncul Johan sulung KFA Junior Cup 2022 selepas menewaskan Akademi Puteri Jaya 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

Pengurus Kenari Kid Jitra, Rusni Ramli berkata, piala tersebut menjadi piala pertama diraih akademi tersebut selepas banyak kejohanan tertangguh akibat Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, walaupun diberi tentangan sengit oleh akademi dari Sungai Petani itu, pemain-pemain Kenari Kid Jitra berjaya menahan asakan lawan sehingga ke wisel terakhir.

"Pasukan yang muncul johan sulung KFA Junior Cup 2022 ini sebahagiannya adalah pemain yang telah bersama sejak berusia tujuh tahun.

"Mereka ini juga sebahagian daripada pasukan yang meraih pelbagai kejohanan tempatan di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Perak sebelum pandemik Covid-19 menjejskan aktiviti di seluruh dunia," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah Rusni, sokongan tinggi yang diberikan oleh waris dan ibu bapa menjadi salah satu kekuatan kepada kelab yang melatih lebih 100 pemain berusia tujuh hingga 12 tahun dari sekitar Jitra.

Pasukan bimbingan Azmi Mat ini membawa pulang Piala Pusingan KFA Junior Cup, medal dan wang tunai RM1,000 sebagai hadiah kemenangan pada Sabtu lalu.

Sementara itu, pasukan Kenari Kid Ayer Hangat, Langkawi menamatkan saingan di tempat ketiga setelah menewaskan Northern Soccer Kids 1-0.

Artikel Berkaitan:

Perlawanan akhir turut disaksikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Abdul Rahman Abdullah serta barisan pengurusan tertinggi dan Ahli Eksekutif KFA.

Sebanyak 16 pasukan 'ubi muda' menyertai kejohanan bawah 12 tahun yang dianjurkan oleh KFA dalam usaha mencungkil bakat-bakat muda di seluruh negeri Kedah.