Ketua Menteri Sarawak kini dikenali Premier Sarawak

Tangkap layar kenyataan Amar Jaul Samion pada Selasa.
Tangkap layar kenyataan Amar Jaul Samion pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Gelaran jawatan bagi Ketua Menteri Sarawak kini telah ditukar secara rasmi kepada Premier Sarawak bermula Selasa.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, dengan pindaan gelaran jawatan itu, Pejabat Ketua Menteri Sarawak kini dikenali sebagai Pejabat Premier Sarawak.

“Sementara itu, jawatan Timbalan Ketua Menteri dipinda kepada Timbalan Premier, manakala Menteri Muda pula dikenali sebagai Timbalan Menteri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Untuk makluman, Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan Ketua Menteri kepada Premier telah diluluskan Dewan Undangan Negeri pada 15 Februari lalu.

Dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan menyokongnya dengan enam menentang.

Abdul Karim berkata, pindaan itu seiring pindaan Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa sebelum ini.

Semasa menjelaskan penggunaan Premier bagi menggantikan Ketua Menteri di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak, beliau berkata, ia sama seperti yang diamalkan oleh negara-negara Komanwel lain.

"Ketua Persekutuan digelar sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah membentuk Persekutuan digelar Premier manakala subwilayah atau negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri,” katanya.

Artikel Berkaitan: