'Tiada sebarang pembangunan di Endau sejak lima tahun lalu'

Muhammad Syukri
Muhammad Syukri
A
A
A

MERSING - [DIKEMAS KINI] Golongan belia di Endau mahu wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini memberi fokus kepada pembangunan di kawasan berkenaan sekali gus dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Presiden Ikatan Anak Mersing, Muhammad Syukri Ibrahim berkata, setelah tiada sebarang pembangunan sejak lima tahun kebelakangan ini, pekan Endau memerlukan perancangan baharu untuk dimajukan.

Menurutnya, pembangunan di bawah DUN Endau seperti di pekan Endau dilihat sudah terkebelakang berbanding kawasan- kawasan yang terletak bersebelahannya iaitu Tanjong Gemok, Kuala Rompin, Pahang.

“Jadi isu utama adalah kalau tidak ada perancangan untuk pembangunan, mana orang nak datang untuk buat melabur.

“Pelabur pasti akan lebih yakin untuk datang di Mersing yang merupakan daerah pelancongan jika wakil rakyat betul-betul buat kerja dan ada perancangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Muhammad Syukri berkata, anak muda di kawasan itu mahukan wakil rakyat yang ada visi jelas mengenai perancangan pembangunan.

"DUN Endau terbahagi kepada tiga tempat iaitu bandar Mersing, kawasan sekitar Kampung Penyabong dan pekan Endau yang masing-masing mempunyai keperluan pembangunan yang berlainan antara satu sama lain.

"Di bandar Mersing, perancangan pembangunan perlu dilakukan terhadap usaha meningkatkan industri perkhidmatan sokongan kepada sektor pelancongan dengan mewujudkan hotel, rumah percutian dan perniagaan berkaitan makanan tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Di kawasan sekitar Pulau Penyabong, wakil rakyat perlu memikirkan prasarana lain untuk ditambah baik selain daripada tarikan pelancongan sedia ada," katanya.