West Ham himpit Manchester United

Soucek watak penting ketika West Ham United menang tipi ke atas Wolves di Stadium London.
Soucek watak penting ketika West Ham United menang tipi ke atas Wolves di Stadium London.
A
A
A

WEST Ham United masih belum boleh bergembira sekalipun berjaya memberi tekanan kepada Manchester United dalam pemburuan kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Penyerang West Ham, Tomas Soucek berkata, dia percaya perjalanan skuad The Hammers itu masih berliku apabila setiap pasukan mula memberi saingan pada pusingan kedua liga sepusingan tersebut.

“Seboleh-bolehnya menjadi hasrat saya mahu melihat West Ham United menjadi antara kelab yang mengisi kelompok empat terbaik musim ini.

“Biarpun kemenangan ke atas Wolves boleh disifatkan sebagai satu manifestasi dan semangat baharu buat pemain West Ham United, namun sebenarnya kelab masih belum berada pada tahap yang diidamkan setiap pemain.

“Jadi kini menjadi tanggungjawab dan tugas setiap para pemain West Ham United untuk mencipta lebih banyak lagi kemenangan bagi memastikan matlamat kelab tercapai pada penghujung musim,” kata Soucek.

Soucek merupakan watak penting ketika West Ham United menang tipis 1-0 ke atas Wolves dalam perlawanan liga di Stadium London apabila jaringan bintang Republik Czech berusia 27 tahun di minit ke-59 tersebut menghadirkan mata ke-45 kelab - dua mata di belakang Manchester United selepas masing-masing mengharungi 27 perlawanan.

Bagaimanapun kedudukan West Ham masih belum selamat apabila dihimpit satu lagi kelab terkemuka dan sensasi London, Arsenal yang mengumpul mata sama, namun kurang tiga perlawanan.

Pada masa Soucek memuji keiltizaman dalam kalangan pemain berusaha menstabilkan posisi kelab dalam saingan liga biarpun berdepan ketidaktentuan jadual perlawanan liga akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang perlu dilakukan para pemain sekarang adalah fokus berkembang selepas mencipta kemajuan besar dalam masa dua tahun untuk berada dalam kedudukan ini.

“Para pemain perlu mencari cara untuk memastikan kelab yang memiliki tradisi bola sepak Inggeris kekal berada di puncak,selain membina semula kegemilangan untuk menjadi kelab yang lebih baik,” kata Soucek.

Sementara itu, pengendali West Ham United, David Moyes berkata, “Kami mencipta banyak peluang, dan boleh menjaringkan dua atau tiga gol lagi selepas mendahului Wolves.”