PRN Johor: Pas Perak kerah jentera bantu 5 DUN

Razman ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pembukaan Bilik Pameran DJI Agriculture di Taman Bagan Seri Maju 1, di sini pada Isnin.
Razman ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pembukaan Bilik Pameran DJI Agriculture di Taman Bagan Seri Maju 1, di sini pada Isnin.
A
A
A

BAGAN SERAI - Pas Perak mengerahkan seluruh jentera mereka bagi membantu Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, jentera Pas Perak bersama-sama komponen PN terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ditugaskan untuk membantu calon di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, lima kawasan DUN tersebut ialah di Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Sedili dan Bukit Permai.

"Kita memang komited membantu bukan hanya Pas tetapi kita bersama-sama Bersatu dan Gerakan bergerak secara bersama untuk memenangkan calon.

"Perak diberikan tanggungjawab untuk menjaga lima DUN ini dengan ketiga-tiga parti bergabung jentera," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Bilik Pameran DJI Agriculture di Taman Bagan Seri Maju 1, di sini pada Isnin.

Razman berkata, PN mempunyai peluang untuk menang di Johor disebabkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempunyai pengaruh di negeri itu.

Menurutnya, beberapa kejadian dan langkah politik terhadap Muhyiddin turut mengundang simpati kepada orang Johor untuk menyokong PN.

"Kita melihat PN mempunyai potensi untuk menarik sokongan pengundi memandangkan Muhyiddin merupakan anak jati Johor dan orang tempat begitu mengikuti perkembangan yang berlaku ke atas bekas perdana menteri itu.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin orang Johor terasa bahawa Muhyiddin dianiaya sejak menjadi perdana menteri kemudian tindakan Barisan Nasional (BN) membubarkan DUN bagi mengadakan PRN menyusahkan rakyat dan ia mengundang simpati," katanya.

Pas dilaporkan bertanding 15 daripada 56 kerusi DUN pada di Johor pada PRN kali ini berbanding 33 kerusi diwakili Bersatu dan lapan kerusi ditandingi Gerakan.