PRN Johor: 56 calon PN akan tandatangani akujanji tentang rasuah

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Semua calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, akan menandatangani aku janji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, dan salah guna kuasa.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, barisan 56 calon yang sudah diterima pada sesi penamaan calon pada Sabtu juga akan berikrar memikul tanggungjawab serta amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih.

"Seperti yang pernah saya tegaskan, mereka yang dipilih mewakili PN adalah calon yang berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi serta memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat.

"Setiap calon terpilih telah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Muhyiddin turut menyatakan rasa syukur apabila kesemua 56 calon mewakili PN diterima untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac depan selepas proses penamaan calon berakhir.

"Dengan keazaman yang tinggi untuk berkhidmat kepada bangsa Johor, saya percaya pasukan PN mampu merencana dan memacu pembangunan negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju, yang mana kemakmurannya dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang tertinggal atau terpinggir," katanya.

Pada PRN Melaka November tahun lalu, PN turut mengambil pendekatan sama apabila seramai 28 calon yang bertanding diwajibkan menandatangani surat akujanji menentang rasuah.

Artikel Berkaitan: