Sila log masuk terlebih dahulu.

Berita palsu antara punca masyarakat Melayu tolak vaksin

Pulau Pinang menjadi negeri ketiga tertinggi dalam pemberian vaksin untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi PICKids dengan 25.7 peratus sehingga Rabu. (Gambar Dalam) Norlela.
Pulau Pinang menjadi negeri ketiga tertinggi dalam pemberian vaksin untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi PICKids dengan 25.7 peratus sehingga Rabu. (Gambar Dalam) Norlela.
A
A
A

GEORGETOWN - Berita palsu yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp menjadi antara faktor masyarakat Melayu di Pulau Pinang menolak pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada anak mereka.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, selain itu, masih ramai dalam kalangan masyarakat Melayu yang ragu-ragu terhadap status vaksin walaupun mereka telah diberi penjelasan termasuk daripada mufti.

Menurutnya, liputan vaksinasi kanak-kanak menerusi Program Imunisasi Covid-9 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dalam kalangan masyarakat Melayu di Pulau Pinang masih lagi rendah dan ia disebabkan oleh kurangnya keyakinan terhadap vaksin dalam kalangan mereka.

"Pelbagai faktor dikenal pasti menjadi punca mengapa masyarakat Melayu menolak dan takut untuk membenarkan anak mereka mendapatkan vaksin Covid-19, antaranya kemunculan berita palsu mengenai vaksin Covid-19 yang tersebar di kumpulan WhatsApp.

"Ramai yang terpengaruh dengan berita palsu ini walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) giat menyampaikan fakta yang tepat dan benar mengenai vaksin," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum ini, Pulau Pinang menjadi negeri ketiga tertinggi dalam pemberian vaksin untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi PICKids dengan 25.7 peratus sehingga Rabu.

Sehingga Selasa, Sarawak; Melaka; Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang adalah negeri yang mencatatkan peratusan tertinggi dalam pemberian vaksin kanak-kanak iaitu antara 20 hingga 30 peratus manakala tiga negeri mencatatkan di bawah 10 peratus iaitu Kelantan, Terengganu dan Sabah.

Dalam pada itu, Norlela berkata, kerajaan negeri mengambil pelbagai inisiatif untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa mengenai kebaikan vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan meneruskan sesi libat urus bersama ibu bapa di sekolah agama rakyat serta sekolah kebangsaan untuk meyakinkan mereka mengenai kepentingan vaksinasi kepada kanak-kanak.

"Mengikut data setakat 25 Februari lalu, 69 peratus daripada jumlah pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) telah menerima vaksinasi mereka.

"Bagaimanapun, hanya 3.9 peratus kanak-kanak yang mendaftar di sekolah agama telah diberi vaksin. Oleh itu, kita akan terus laksanakan sesi libat urus bersama ibu bapa dalam kalangan masyarakat Melayu agar mereka faham mengenai kepentingan vaksin ini," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, selain sesi libat urus yang dijalankan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bagi mengadakan sesi tersebut di sekolah-sekolah.

"Selain penerangan dari segi saintifik, kita juga memerlukan penjelasan dari sudut agama Islam supaya ibu bapa tidak menaruh syak wasangka terhadap vaksin.

"Ada yang masih ragu-ragu mengenai status halal vaksin ini walaupun para mufti telah memberi penjelasan mengenainya," ujarnya.

Sehingga jam 7 pagi Isnin, sebanyak 32.8 peratus kanak-kanak berusia lingkungan lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang telah menerima vaksinasi PICKids.