Banjir: APM, Bomba Pahang hantar pasukan, aset ke Terengganu

Anggota bomba memantau kawasan dinaiki air. - Foto JBPM PAHANG
Anggota bomba memantau kawasan dinaiki air. - Foto JBPM PAHANG
A
A
A

KUANTAN - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang menghantar enam pegawai bersama dua lori lima tan untuk membantu operasi memindahkan mangsa banjir di Terengganu pada Ahad.

Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, pasukan sokongan bantuan bencana banjir itu dihantar untuk misi bantuan ke daerah Kemaman dan Dungun.

Menurutnya, bantuan digerakkan itu berdasarkan keperluan semasa APM Terengganu setakat ini.

"Sekiranya situasi bertambah buruk, kami bersedia menghantar lebih ramai anggota dan aset termasuk lori dan bot bagi melancarkan operasi menyelamat mangsa banjir di negeri itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Che Adam berkata, APM Pahang juga akan menghantar pasukan bantuan ke Kelantan sekiranya keadaan memerlukan.

Che Adam
Che Adam

Artikel Berkaitan:

"Anggota dan pegawai juga diarah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir di beberapa daerah di negeri ini sekiranya hujan lebat berterusan," katanya.

Tindakan sama diambil oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang yang turut menghantar anggota dan aset ke Terengganu pada Ahad.

Pengarahnya, Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, seramai 10 anggota dihantar bagi membantu melancarkan operasi memindahkan mangsa banjir di negeri itu.

Wan Mohammad Zaidi
Wan Mohammad Zaidi

Menurutnya, lima bot dan lima kenderaan pacuan empat roda telah dihantar.

"Sekiranya perlu, JBPM Pahang akan menambah anggota dan logistik ke negeri itu.

"Setakat ini kami memberi tumpuan membantu mangsa banjir di Terengganu manakala Kelantan mendapat bantuan daripada bomba Perak dan beberapa negeri lain," katanya.

Mengenai pemantauan banjir di Pahang, Wan Mohammad Zaidi berkata, situasi di negeri itu masih terkawal.

"Kejadian beberapa kawasan dinaiki air semalam termasuk di Sungai Lembing lebih kepada kejadian biasa yang berlaku bila hujan lebat secara berterusan.

"Bagaimanapun kami menggerakkan anggota untuk melakukan pantauan di seluruh negeri sebagai langkah bersiap sedia," katanya.