PUTD terima enam helikopter tempur buatan AS

Enam unit helikopter model MD530G di Hangar 2, Invation Aero, Subang pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Enam unit helikopter model MD530G di Hangar 2, Invation Aero, Subang pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SUBANG - [DIKEMAS KINI] Tiga daripada enam buah helikopter pengintip tempur ringan (Light Scout/Attack Helicopter) Model MD530G buatan Amerika Syarikat (AS) yang baharu diterima Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) akan ditempatkan di Sabah, kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Zamrose berkata, tiga pesawat tempur ringan ini akan dihantar ke Sabah untuk kegunaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

"Sebelum ini, kita memang rancang untuk penugasan di persisiran Pantai Timur Sabah tetapi memandangkan sudah ada tiga buah helikopter jenis Agusta Westland di sana, jadi kita hanya letakkan tiga buah helikopter MD530G di Esscom, manakala tiga lagi akan ditempatkan di Kem Mahkota, Kluang untuk tujuan latihan,” katanya pada sidang media selepas majlis penerimaan rasmi helikopter berkenaan di Hangar 2, Invation Aero di sini pada pagi Isnin.

Menurut beliau, helikopter yang dibangunkan oleh MD Helicopters Inc (MDHI) itu dilengkapi gatling gun 7.62mm, mesin gan 12.7mm dan pelancar roket 70mm.

“Helikopter yang dilengkapi roket berpandu laser mampu menangani ancaman kenderaan berperisai ringan dan trup infantri pada jarak 500 meter hingga tujuh kilometer

“Berdasarkan ciri-ciri ‘combat multipler’ yang dimiliki oleh pesawat ini, ia merupakan aset strategik tentera darat yang berkemampuan membantu elemen tempur tentera darat,” katanya.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain (kanan) melihat salah sebuah helikopter baharu model MD530G di Hangar 2, Invation Aero, Subang, pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain (kanan) melihat salah sebuah helikopter baharu model MD530G di Hangar 2, Invation Aero, Subang, pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

Katanya lagi, perolehan helikopter itu dirancang berikutan pencerobohan Lahad Datu 2013, pada ketika itu tentera darat hanya ada lima pesawat Agusta yang berperanan sebagai pesawat peninjau tidak dilengkapi persenjataan.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan keperluan penugasan serta mengambil kira faktor kewangan dan bentuk ancaman pengganas ketika itu, MD530G sesuai untuk penugasan di pesisiran pantai,” katanya.

Dalam pada itu katanya, seramai lapan juruterbang bersama sembilan juruteknik telah menghadiri program latihan pengendalian pesawat berkenaan di Mesa, Arizona tahun lalu.

Jelasnya lagi, pesawat berkenaan kini sedang melalui pemeriksaan oleh Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) sehingga 2 Mac ini sebelum proses penerimaan akhir selesai.

“Satu tim pemeriksa yang dikenali sebagai Tim Final Acceptance Test (FAT) telah ditubuhkan dan akan dipertanggungjawabkan untuk memeriksa pesawat ini secara terperinci selepas itu,” katanya.