Muzium koleksi produk McDonald’s

Sebahagian daripada 70,000 koleksi barangan McDonald’s yang dipamerkan di Top Fast-food Toy Collections, Pumpong.
Sebahagian daripada 70,000 koleksi barangan McDonald’s yang dipamerkan di Top Fast-food Toy Collections, Pumpong.
A
A
A

ALOR SETAR - Bermula dengan hobi mengumpul pelbagai koleksi barangan berjenama McDonald’s sejak 1979 kini pasangan anak beranak berjaya membuka muzium koleksi barangan itu di Pumpong, di sini sejak tiga minggu lepas.

Menurut pengumpul Lee Jain Wen, sehingga kini, dia dan bapanya, Lee Choon Chiek, 62, telah memiliki lebih 70,000 koleksi barangan McDonald’s yang diperoleh serata dunia.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 40,000 koleksi barangan terdiri daripada mainan, poster, kotak Happy Meals ditempatkan di sebuah rumah kedai di Pumpong untuk tatapan pengunjung.

“Selebihnya, sebanyak 30,000 lagi koleksi barangan McDonald’s diletakkan di kediaman kami akibat ruang yang terhad,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Top Fast-food Toy Collections pada Sabtu.

Keadaan kaunter McDonald’s turut dipamerkan di sebuah rumah kedai di Pumpong, di sini.
Keadaan kaunter McDonald’s turut dipamerkan di sebuah rumah kedai di Pumpong, di sini.

Tambah Jain Wen, kesemua barangan McDonald’s termasuklah yang telah mencecah lebih 40 tahun dijaga rapi, disusun dan diletakkan mengikut koleksi dalam rak khas.

Katanya, barangan pertama dikumpulkan bapanya adalah kotak Happy Meal pertama di dunia yang diperkenalkan di Amerika Syarikat dan mainan Space Aliens pada 1979 dan tin edisi terhad kolaborasi Coca Cola dan McDonald’s pada 1982.

Jain Wen memberitahu, koleksi terbaharu diperolehinya adalah koleksi McDonald’s Happy Meal 2022 Nissan GT-R NISMO Japan yang diperoleh daripada negara Jepun.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat pelbagai koleksi barangan mainan Mcdonald’s termasuklah daripada filem Avatar, Smurts, Narnia, Sing dan The Secret Life of Pets 2 yang dipamerkan di rak khas disediakan.

“Malah, kami juga mengumpulkan koleksi McDonald’s daripada anime One Piece, Pokemon, Doraemon serta Ultraman dan Power Ranger yang diperolehi dari merata-rata tempat,” ujarnya.

Jian Wen menunjukkan sebahagian koleksi mainan McDonald’s yang dikumpul.
Jian Wen menunjukkan sebahagian koleksi mainan McDonald’s yang dikumpul.

Katanya, bapa sanggup ke luar negara seperti Thailand, Singapura, Jepun, Indonesia, Sepanyol semata-mata mendapatkan koleksi barangan McDonald’s yang adakalanya sukar didapati dalam negara.

“Antara koleksi paling berharga termasuklah syiling bersalut emas bersempena memperingati 50 tahun Big Mac yang dikeluarkan McDonald’s Medan pada 2018,” katanya.

Jain Wen memberitahu, mereka turut memiliki tiga paket kuih bulan edisi khas keluaran McDonald’s berusia 10 tahun yang masih terpelihara baik yang dibeli pada harga 19.90 baht sekotak.

“Selain koleksi mainan, kami turut mengumpulkan koleksi paket kecil sos, bekas minuman, sijil, pinggan kertas, plastik, baju, pin, kad, topi dan tidak ketinggalan maskot McDonald’s.

“Mungkin ada barangan seperti bekas minuman nampak sama dan ada yang membuangnya selepas selesai menikmati makanan, tapi sebenarnya ia berbeza dan memiliki corak tersendiri mengikut negara,” katanya.

Jelasnya, sebahagian koleksi diperoleh hasil belian sendiri termasuk bapanya, manakala sebahagian diperolehi daripada rakan-rakan yang mengetahui minat mereka.

Tambahnya, mereka juga mengumpulkan koleksi barangan jenama Coca Cola termasuklah tin dan botol minuman itu selain aneka koleksi barangan McDonald's.

Antara koleksi barangan McDonald’s dikumpulkan Jian Wen dan bapanya, Choon Cheik.
Antara koleksi barangan McDonald’s dikumpulkan Jian Wen dan bapanya, Choon Cheik.

“Dengan caj kemasukan yang berpatutan, tempat ini makin mendapat perhatian apabila pelancong dari beberapa negeri terutamanya Kuala lumpur tidak melepaskan peluang melihat koleksi dipamerkan,” katanya.

Jain Wen memaklumkan premis beroperasi dari jam 10 pagi hingga 7 petang setiap hari itu akan disanitasi setiap sejam dalam usaha mencegah penularan virus Covid-19.