Banjir: Bekalan makanan cukup, tidak berlaku pembelian panik

Tiada sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan makanan diterima pihak KPDNHEP Kelantan ketika negeri itu dilanda banjir ketika ini.
.
Tiada sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan makanan diterima pihak KPDNHEP Kelantan ketika negeri itu dilanda banjir ketika ini. .
A
A
A

KOTA BHARU - Bekalan makanan di kawasan terjejas banjir di Kelantan masih mencukupi dan tidak berlaku pembelian panik oleh mangsa setakat ini, kata Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri.

Beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan makanan kerana pemantauan sentiasa dilakukan bagi memastikan keberadaan barangan keperluan mencukupi dengan pemborong dan peruncit yang dilantik.

"Pelan Kontingensi Menghadapi Bencana Alam, khususnya banjir yang diwujudkan sebelum ini adalah sebagai penanda aras bekalan barang di negeri ini malah setakat ini, kesemua 99 pemborong dan 225 peruncit yang dilantik tidak terjejas dengan banjir," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Azanizam Affendi berkata, pihaknya turut melantik 41 pemborong dan 53 peruncit di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri sebagai persediaan menghadapi banjir dan mereka dibenarkan menyimpan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had lesen.

"Semua yang dilantik berperanan untuk menyediakan stok penimbal kepada KPDNHEP Kelantan sekiranya banjir semakin buruk.

"Pemeriksaan dan pemantauan dilakukan setiap hari dan maklumat berkaitan status bekalan di kawasan yang terjejas banjir akan direkodkan bagi tujuan penyelarasan bekalan sekiranya keadaan semakin mendesak," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan sentiasa mengadakan libat urus dengan agensi kerajaan dan industri terbabit bagi tujuan penyelarasan terutama berkaitan bekalan kepada kawasan terjejas banjir.- Bernama

Artikel Berkaitan: