BN tidak lihat pertembungan pelbagai penjuru sebagai kelebihan

Ahmad Zahid bersama Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali di majlis ramah mesra bersama penduduk Pusat Daerah Mengundi Ayer Hitam Barat di Dewan Terbuka Taman UPC, pada Ahad.
Foto Bernama
Ahmad Zahid bersama Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali di majlis ramah mesra bersama penduduk Pusat Daerah Mengundi Ayer Hitam Barat di Dewan Terbuka Taman UPC, pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) tidak mahu melihat situasi pertembungan empat penjuru di 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu kelebihan kepada parti itu untuk menang selesa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan melihat kepada aspek kelebihan atau kekurangan apabila terlalu ramai calon diketengahkan pelbagai parti.

"Angin perubahan mula bertiup di Johor bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu... peningkatan sokongan pengundi India dan Cina terutama di kawasan bandar telah mula bertukar arah kepada calon BN,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ayer Hitam Barat di sini, pada Ahad.

Pada PRN Johor, daripada 56 kerusi DUN, dua kawasan iaitu Kempas dan Tiram menyaksikan pertandingan tujuh penjuru, pertandingan enam penjuru di empat kerusi, lima penjuru (lapan), empat penjuru (35) dan tiga penjuru (7).

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO yakin beberapa tawaran dalam manisfesto BN yang akan dilancarkan kelak seperti menawarkan rumah generasi kedua kepada peneroka Felda yang akan diletakkan di bawah kerajaan negeri, akan memberikan harapan kepada pengundi muda.

Katanya, lebih 70 peratus muka baharu yang diketengahkan sebagai calon BN adalah ‘hidangan’ baharu kepada rakyat Johor yang mampu menjadi pembawa perubahan dalam kalangan pengundi muda.

"Walaupun calon-calon ini bertembung dengan calon sama taraf dari segi umur, kelayakan akademik, muka baharu tetapi kita yakin berdasarkan rekod daripada Kerajaan Johor yang mempunyai 14 Menteri Besar di bawah pimpinan BN atau UMNO, memberi keyakinan dan harapan semula kepada calon untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata BN akan mencadangkan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu bagi negeri ini sekiranya parti itu diberi mandat pada PRN Johor.

Kata Ahmad Zahid, ia penting untuk Kerajaan Negeri Johor membela kepentingan rakyat terutamanya pekerja yang berpendapatan rendah.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar dan kerajaan negeri kerana ia juga tertakluk kepada dasar kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Dalam pada itu di Johor Bahru, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun lebih ramai calon bertanding dilihat memberi kelebihan kepada BN tetapi baginya parti itu masih perlu bekerja keras untuk menang.

"‘The More The Merrier’... kita rasa lebih ramai calon kemungkinan lebih baik peluang untuk BN, tetapi kita tidak boleh merasakan terlalu optimis. Kita mesti bekerja keras dan yakin bahawa kita ini menawarkan agenda yang terbaik untuk rakyat. Kita mesti bersikap rendah diri, bahawa kita ini sedang meminta mandat daripada rakyat. Kita serah diri kita kepada rakyat supaya rakyat buat penilaian yang bijak,” katanya ketika ditemui di Taman Cempaka di sini.

Beliau berada di situ bersama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Ramlee Bohani yang merupakan calon BN bagi DUN Kempas.

Najib berkata, sambutan hangat yang diterimanya sewaktu meluangkan masa bersantai bersama penduduk di Taman Cempaka dianggap sebagai manifestasi kepada peningkatan sokongan terhadap BN.

Selain Ramlee, turut bertanding di DUN Kempas, yang terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru, ialah Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan dan Nur Faizal Abdullah daripada Perikatan Nasional.

Tiga lagi adalah calon Bebas iaitu guru sekolah swasta, Mohd Azwan Abd Rahman, bekas ketua kampung, Mohd Hambali Munadi dan kontraktor, Mohd Suhimi A Rahman.

Namun, tumpuan lebih kepada Nornekman Osman daripada Parti Pejuang Tanah Air yang merupakan anak kepada penyandang kerusi itu dan bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian. -Bernama