Penduduk anggap banjir pada Februari luar biasa

Keadaan air yang mula memasuki kediaman Hasmiza (Gambar kecil).
Keadaan air yang mula memasuki kediaman Hasmiza (Gambar kecil).
A
A
A

HULU TERENGGANU - Mangsa banjir di Terengganu menyifatkan kejadian bencana itu kali ini agak luar biasa dan berlaku di luar jangkaan kerana sudah lama tidak mengalaminya pada bulan Februari.

Hasmiza Mokhtar, 47, berkata, rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat di sini, mula dinaiki air jam 9 pagi pada Sabtu sedalam dua meter.

"Sepanjang saya tinggal di sini belum pernah lagi banjir berlaku pada bulan Februari. Kalau ada pun dah lama sangat mungkin sekitar 10 tahun lalu.

"Biasanya bulan Februari ni musim tengkujuh sudah beransur pulih dan cuaca mula panas menjelang Mac. Aktiviti ke laut juga sudah pulih seperti biasa," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya petang Sabtu.

Ketika ditemui, Hasmiza yang tinggal bersama enam ahli keluarga lain sedang memindahkan barang-barang untuk diletakkan di tempat yang lebih tinggi di rumahnya.

Menurut Hasmiza, lapan ekor kucing peliharaannya juga terpaksa diletakkan di dalam sangkar dan dipindahkan ke bahagian loteng rumah supaya selamat daripada banjir.

Sementara itu, tinjauan banjir di daerah Hulu Terengganu mendapati kebanyakan penduduk membuat persediaan lebih awal dengan mula berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila kawasan kediaman menunjukkan tanda-tanda mula dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

Zaitun Mohd Ghazali, 43, dari Kampung Kepah berkata, mereka sudah memahami dengan jelas prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan setiap kali banjir melanda.

"Banjir kali ini berlaku mengejut, sebab berlaku di luar tempoh kebiasaan tengkujuh (November hingga awal Januari tetapi kami sudah 'dilatih' untuk segera menyelamatkan diri ke PPS berdekatan jika melihat paras sungai berhampiran rumah mula naik.

Hasmiza memindahkan barangan di rumahnya yang dinaiki air di Kampung Bukit Tok Bat, di Hulu Terengganu ke tempat lebih tinggi.
Hasmiza memindahkan barangan di rumahnya yang dinaiki air di Kampung Bukit Tok Bat, di Hulu Terengganu ke tempat lebih tinggi.

"Ada yang datang berjalan kaki, ada yang naik motosikal atau kereta ke PPS. Kami di sini sekampung sudah saling mengenali. Setiap kali berlaku banjir memang sentiasa tolong menolong sepanjang berada di PPS. Walaupun banjir mengejut, kami tidak terlalu panik kerana sudah biasa melalui situasi banjir di kampung ini," katanya ketika ditemui di PPS Kampung Kepah petang Sabtu.

Seorang lagi mangsa, Junaidah Abdul Aziz, 40, berkata, budaya masyarakat kampung yang prihatin antara satu sama lain sentiasa diamalkan sejak dahulu lagi dan mereka sentiasa akur dengan arahan pihak berkuasa.

Katanya, orang kampung akan segera bertindak apabila polis, bomba atau Angkatan Pertahanan Awam (APM) meminta berpindah.

"Syukurlah sebab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemimpin setempat sediakan bekalan makanan dan barangan keperluan lain seperti selimut dan khemah untuk tidur.

"Kami harap sangat agar banjir kali ini segera pulih dan tidak berlanjutan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP dalam kalangan mangsa banjir bagi mencegah penularan Covid-19 di PPS.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Jawatankuasa Bencana Daerah akan terus memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa sepanjang tempoh banjir kali ini.