Jerebu: 34 kawasan catat IPU tidak sihat, Klang rekod bacaan tertinggi

Suasana jerebu menyelubungi ibu negara. Foto fail Bernama
Suasana jerebu menyelubungi ibu negara. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 34 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan Klang, Selangor merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 195.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johor merekodkan lapan kawasan dengan bacaan tidak sihat, iaitu Pasir Gudang (184), Batu Pahat (179), Larkin dan Tangkak masing-masing 178, Pengerang (166), Kluang (165), Segamat (162) dan Kota Tinggi (160).

Di Selangor, selain Klang, sebanyak lima kawasan turut merekodkan IPU tidak sihat iaitu Johan Setia (192), Shah Alam (180), Banting (174), Petaling Jaya (169) dan Kuala Selangor (161) manakala di Negeri Sembilan merekodkan tiga kawasan, iaitu Nilai (191), Seremban (181) dan Port Dickson (173).

Kemerosotan kualiti udara turut direkodkan di Melaka membabitkan tiga kawasan iaitu Bukit Rambai (178), Bandaraya Melaka (176) dan Alor Gajah (175), manakala Putrajaya merekodkan bacaan IPU 177 dan Kuala Lumpur turut mencatat status sama iaitu di Cheras (174) dan Batu Muda (166).

IPU tidak sihat turut direkodkan di Perak merangkumi Tanjung Malim (174), Seri Manjung (173), Pegoh Ipoh (153) dan Tasek Ipoh (151), di Pahang membabitkan kawasan Temerloh (158), Jerantut (156), Rompin (154), Indera Mahkota, Kuantan (135) serta masing-masing satu kawasan di Terengganu, iaitu Kemaman (138), Sabah, Sandakan (125) dan Sarawak membabitkan Samarahan (117).

Sebanyak 34 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana manakala tiada kawasan merekodkan bacaan pada tahap baik.

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.- Bernama 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!