Banjir di Terengganu merebak ke lapan daerah

Sekumpulan kanak-kanak bermain air di hadapan rumah yang dinaiki air di daerah Hulu Terengganu.
Sekumpulan kanak-kanak bermain air di hadapan rumah yang dinaiki air di daerah Hulu Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Banjir di Terengganu terus merebak ke semua lapan daerah apabila Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus menjadi daerah baharu dilanda bencana itu.

Jumlah mangsa dipindahkan pada hari ketiga banjir turut mencatatkan peningkatan mendadak kepada 4,419 orang di 90 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 3,434 yang direkodkan sehingga jam 4 petang Sabtu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, daerah Setiu mencatatkan peningkatan mendadak mangsa banjir apabila 22 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan seramai 802 mangsa daripada 246 keluarga.

Kenyataan itu menjelaskan, Kemaman masih menjadi daerah tertinggi merekodkan mangsa banjir dengan seramai 2,158 orang daripada 579 keluarga ditempatkan di 21PPS.

Di Hulu Terengganu, seramai 689 orang daripada 274 keluarga dipindahkan ke 14 PPS manakala di Besut pula merekodkan 396 orang daripada 100 keluarga di tempatkan di 20 PPS.

Daerah Dungun pula merekodkan 138 orang mangsa banjir daripada 37 keluarga yang ditempatkan di lima PPS.

Tiga daerah baharu dilanda banjir iaitu Kuala Nerus (173 orang, 54 keluarga, lima PPS), Kuala Terengganu (58 orang, 13 keluarga di dua PPS) dan Marang melibatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga di satu PPS).

Sementara itu, menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), 11 stesen sungai utama di Terengganu telah melepasi paras bahaya sehingga jam 8.45 pagi pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Antara sungai terlibat ialah Sungai Dungun di Kuala Jengai (Dungun), Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Besut di Kampung La, Empangan Tembat (Hulu Terengganu), Sungai Berang di Kampung Menerong (Hulu Terengganu) dan Sungai Telemong di Kuala Ping (Hulu Terengganu).

Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Sungai Chalok di Jambatan Chalok (Setiu), Sungai Nerus di Kampung Bukit (Setiu), Sungai Nerus di Kampung Langkap (Setiu) dan Sungai Setiu di Kampung Besut (Setiu).