Pembangunan Tasik Cermin ambil kira faktor keselamatan awam

Tasik Cermin merupakan kawasan Eco Park Kuari pertama di negara ini yang dibangunkan bagi tujuan pelancongan.
Tasik Cermin merupakan kawasan Eco Park Kuari pertama di negara ini yang dibangunkan bagi tujuan pelancongan.
A
A
A

IPOH - Pembangunan kawasan Tasik Cermin, Gunung Rapat di sini sebagai lokasi eko pelancongan yang baharu mengambil kira faktor keselamatan untuk dikunjungi oleh orang awam.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerajaan negeri bersama pihak operator pelancongan yang menguruskan tasik itu akan sentiasa mendapatkan nasihat daripada Jabatan Mineral dan Geosains mengenai kawasan tersebut memandangkan ia merupakan bekas tapak kuari.

Menurutnya, pembukaan Tasik Cermin Eco Park yang merupakan salah satu daripada 19 geotapak di dalam Geopark Lembah Kinta merupakan satu tarikan baharu buat pelancong di Perak.

"Sudah semestinya aspek keselamatan diberi keutamaan dalam membangunkan kawasan pelancongan seperti ini.

Kita akan bekerjasama dengan pihak JMG untuk mendapatkan kepakaran atau nasihat mereka supaya apa yang dibangunkan oleh pihak syarikat pengendali adalah selari dengan peraturan dikenakan untuk jaga keselamatan di tapak bekas kuari ini.

"Pembangunan di kawasan ini juga tidak akan mengganggu alam sekitar dan dibiarkan sebagai kawasan semulajadi.

Pembangunan ini juga berkonsepkan rendah karbon yang menggunakan bahan mesra alam," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Prapelancaran Tasik Cermin Eco Park Ipoh, di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin; Setiausaha MBI, Ahmad Munir Ishak dan Pengarah Pembangunan Pelancongan Tasik Cermin Eco Park, Siti Norlizawati Narawi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, tapak bekas lombong kuari itu merupakan kawasan Eco Park Kuari pertama di negara ini yang dibangunkan bagi tujuan pelancongan.

Menurutnya, pelbagai pembangunan pelancongan berasaskan eko telah dirancang untuk dilaksanakan secara berfasa sekaligus membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, Siti Norzilawati berkata, pembangunan Tasik Cermin itu turut memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya orang asli.

Katanya, ketika ini mereka sedang melatih empat individu orang asli untuk bersama-sama terlibat di dalam pembangunan tasik berkenaan bagi mengurangkan kebergantungan pekerja asing.

Jelasnya, setakat ini seramai empat orang pekerja dalam kalangan masyarakat orang asli sedang dilatih untuk terlibat sama di dalam sektor pelancongan di kawasan tersebut.