VTL darat dapat dilaksanakan sebelum hari raya: Ismail Sabri

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Malaysia dapat melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat sebelum Mei tahun ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperinci beberapa cadangan untuk pelaksanaan VTL Malaysia dengan negara-negara jiran termasuk Singapura, Thailand dan Brunei.

"Pelaksanaan VTL udara agak mudah berbanding VTL darat di mana bagi pengembara yang tiba di lapangan terbang, saringan boleh dilakukan segera. Namun begitu, saringan di pintu masuk darat, kita perlu mengelak barisan panjang kenderaan.

"Kita telah memberikan beberapa cadangan kepada Kementerian Kesihatan agar mencari kaedah terbaik untuk mempermudahkan dan mempercepatkan pelaksanan VTL darat. Saya menegaskan perkara ini dapat diselesaikan sebelum Hari Raya (tahun ini),” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, VTL darat, khususnya Thailand dan Malaysia penting kerana ia bukan sahaja melibatkan pelancongan namun turut melihatkan perdagangan dua hala, khususnya perdagangan sempadan yang menyumbang 50 peratus dari jumlah dagangan Malaysia-Thailand berjumlah AS$10.5 bilion.

Selain itu, beliau berkata, VTL darat Malaysia dan Singapura serta Malaysia dan Brunei penting untuk pergerakan rakyat negara-negara tersebut.

"Hampir 200,000 pekerja Malaysia yang ulang-alik Malaysia dan Singapura. Selain itu, di sempadan Malaysia dan Brunei, mereka di Limbang dan Lawas perlu melalui Brunei. Sehingga hari ini, mereka belum boleh merentas sempadan,” katanya.

Pada Jumaat, Ismail Sabri dan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha mengadakan pertemuan dan perbincangan sempena lawatan rasmi julung kali beliau ke Thailand.

Artikel Berkaitan:

Malaysia dan Thailand bersetuju secara dasar untuk melaksakanakan VTL udara, darat dan laut bagi memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Ketika perjumpaan dengan Prayuth, Ismail Sabri berkata, kementerian dan agensi berkaitan akan mengadakan perbincangan bagi memperincikan prosedur operasi standard berkaitan bagi membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui VTL bagi pihak Malaysia dan ‘Test & Go’ bagi pihak Thailand.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mengikiraf sijil vaksinasi Covid-19 masing-masing - MySejahtera (Malaysia) dan Mor Prom (Thailand) untuk menyokong usaha-usaha pembukaan semula sempadan kedua-dua negara.

"Kita juga akan susuli dengan pengiktirafan sijil vaksin digital dan integrasi dua aplikasi MySejahtera dan Mor Prom bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara,” katanya.- Bernama