Pertembungan empat, tujuh penjuru sudah dijangka: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (duduk dua dari kanan) bersama calon BN, Hasrunizah Hassan (duduk tiga dari kiri) ketika melawat Bilik Gerakan DUN Pulai Sebatang, di Pontian, pada Sabtu.
Ahmad Zahid (duduk dua dari kanan) bersama calon BN, Hasrunizah Hassan (duduk tiga dari kiri) ketika melawat Bilik Gerakan DUN Pulai Sebatang, di Pontian, pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Berlakunya pertembungan empat hingga tujuh penjuru di kebanyakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah dijangka.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, wujudnya parti-parti baharu yang merupakan serpihan daripada parti-parti lama menyebabkan pertambahan calon dalam PRN kali ini.

Katanya, ketika PRN Melaka dan Sarawak lalu, Barisan Nasional (BN) turut menghadapi lebih daripada dua penjuru.

"Banyak parti serpihan dahulu ada dalam gabungan. Kemudian tubuhkan parti baharu untuk melawan BN. Saya ada mendengar ura-ura gabungan parti pembangkang mengelak pertembungan sebelum penamaan bagi menentang BN. Namun strategi tersebut tidak berlaku berdasarkan kepada hari penamaan calon pada hari ini (Sabtu) yang menyaksikan lebih daripada empat penjuru di kebanyakan DUN.

“Dalam kalangan mereka juga didapati tidak bersefahaman dan ini menunjukkan mereka hanya bertanding mengikut blok masing-masing untuk menentang BN,” katanya selepas melawat Bilik Gerakan BN bagi DUN Pulai Sebatang di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Mahadzir Khalid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Mejar ( B ) Datuk Seri Jamil Khair Baharom dan calon BN bagi DUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pertembungan lebih daripada dua penjuru di kebanyakan DUN pada PRN Johor selepas selesai penamaan calon, pada Sabtu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat dua DUN menyaksikan pertembungan tujuh penjuru iaitu di DUN Tiram dan Kempas manakala 35 DUN bagi empat penjuru.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad Zahid, bagaimanapun UMNO sebagai tulang belakang kepada BN tidak gentar berdepan pertembungan melibatkan lebih daripada dua penjuru itu.

"Saya yakin BN masih menerima sokongan pengundi. Rasa penyesalan mereka ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diterjemahkan pada PRN Johor dengan menyokong calon-calon BN,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, pihaknya yakin semua jentera pilihan raya BN sudah bersiap sedia untuk menjalankan tugas masing-masing di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).