Bencana nuklear Chernobyl 1986 dikhuatiri berulang

Tindakan tentera Rusia merampas loji kuasa nuklear tersebut boleh menyebabkan 'akibat yang sangat dahsyat'. - Foto Agensi
Tindakan tentera Rusia merampas loji kuasa nuklear tersebut boleh menyebabkan 'akibat yang sangat dahsyat'. - Foto Agensi
A
A
A

KIEV - [DIKEMAS KINI] Pihak berkuasa Ukraine pada Jumaat mendakwa paras radiasi di zon pengecualian Chernobyl telah meningkat dan turut memberi amaran tindakan tentera Rusia merampas loji kuasa nuklear tersebut boleh menyebabkan 'akibat yang sangat dahsyat'.

Susulan itu, Kiev mengesahkan ia telah memaklumkan kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bahawa mereka sudah kehilangan kawalan terhadap rod bahan api radioaktif di kemudahan tersebut.

"Di tangan pihak yang salah, sejumlah besar plutonium-239 itu boleh menjadi bom nuklear yang berupaya menyebabkan malapetaka," kata Kementerian Perlindungan Alam Sekitar di Kiev.

Menurutnya, pengambilalihan zon pengecualian Chernobyl itu boleh membawa akibat yang sangat buruk.

"Impaknya kepada kemanusiaan dan alam sekitar tiada sempadan," tegas kementerian itu lagi.

Sementara itu, Parlimen Ukraine memberitahu data diperoleh daripada sistem pemantauan radiasi automatik di zon berkenaan merekodkan paras radiasi lebih tinggi daripada biasa.

"Paras sinar gama telah meningkat telah melebihi sejumlah besar titik pemerhatian. Sukar untuk menentukan punca perubahan bacaan radiasi ini kerana ia kini telah diambil alih tentera Rusia," ujarnya.

Bagi mengesahkan dakwaan itu, Timbalan Ketua di State Nuclear Regulatory Inspectorate of Ukraine, Alexander Grigorash berkata, peningkatan paras radiasi di zon tersebut telah dilaporkan pada jam 3.20 pagi (waktu tempatan) dan beliau tidak dapat memberikan butiran lanjut kerana kakitangan telah dipindahkan sejurus ia dirampas Moscow.

Artikel Berkaitan:

Ketika kebimbangan semakin meningkat tentang situasi yang mungkin berpotensi mencetuskan semula bencana nuklear, jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov memberitahu paras radiasi di loji tersebut kononnya berada di tahap normal.

Pada April 1986, kejadian letupan di reaktor keempat loji kuasa nuklear itu telah menyebabkan Ukraine dan Belarus tercemar teruk sehingga membawa kepada penubuhan zon pengecualian yang berukuran sama seperti Luxembourg. - AFP