Salah faham jual beli mesin bitcoin punca peniaga dilarikan

Polis menahan tiga suspek yang dipercayai melarikan seorang peniaga di Taman Sentosa, Klang pada Khamis.
Polis menahan tiga suspek yang dipercayai melarikan seorang peniaga di Taman Sentosa, Klang pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Ekoran salah faham berkaitan jual beli mesin bitcoin, seorang peniaga dipercayai dilarikan sekumpulan enam lelaki dalam kejadian di Jalan Hulubalang, Taman Sentosa di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kira-kira jam 4.30 pagi, adik mangsa telah menerima panggilan daripada pekerjanya memaklumkan terdapat sekumpulan enam lelaki memecahkan cermin kenderaannya jenis Honda HRV yang diletakkan di Taman Sentosa, Klang.

Menurutnya, mangsa yang menggunakan kereta adiknya sejak tiga hari lalu turut dilarikan oleh suspek menggunakan sebuah van.

"Adik mangsa kemudian menghubungi salah seorang rakan abangnya dan telah bercakap dengan seorang lelaki yang menggelarkan diri dengan panggilan 'cikgu'," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, suspek seterusnya meminta wang sebanyak RM76,000 untuk 80 unit mesin bitcoin yang dijual kepada mangsa.

"Suspek meminta adik mangsa menyerahkan wang tersebut di i-City Shah Alam pada jam 9.43 pagi.

"Bimbang dengan kejadian, adik mangsa kemudiannya segera membuat laporan polis," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut yang dijalankan kemudian membawa kepada penahanan tiga suspek warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

"Ketiga-tiga suspek ditahan berusia antara 38 hingga 42 tahun.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku berpunca daripada salah faham yang berlaku berkaitan urusan jual beli mesin bitcoin antara mangsa dan juga suspek," katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 365 dan 384 Kanun Keseksaan.