PRN Johor: Pas puas hati dapat 15 kerusi

Pas berpuas hati dengan pembahagian kerusi yang ditandingi mereka menggunakan lambang PN pada PRN Johor.
Pas berpuas hati dengan pembahagian kerusi yang ditandingi mereka menggunakan lambang PN pada PRN Johor.
A
A
A

TAIPING - Pas berpuas hati dengan pembahagian kerusi yang ditandingi mereka menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, jumlah 15 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diberikan kepada Pas itu sudah memadai.

Menurut beliau, tumpuan kini terarah kepada gerak kerja untuk memenangkan calon PN yang bertanding.

"Kita berpuas hati (dengan pembahagian kerusi bagi PRN Johor), cukuplah itu.

"Kita bertanding pun kena bagi orang lain juga (kerusi DUN)," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Calon SPM dan STAM 2021 di Dewan Restoran Nasi Ayam Hainan Simpang di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Idris berkata, parti itu sudah menggerakkan jentera dari seluruh negara bagi membantu kempen dan gerak kerja bagi PRN Johor.

Pada Khamis, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai kesemua 56 calon yang mewakili PN pada PRN Johor.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendominasi pencalonan dengan mengetengahkan 33 calon manakala Pas (15) dan lapan daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Artikel Berkaitan:

Pada 9 Februari lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon bagi PRN Johor manakala tarikh mengundi pula pada 12 Mac depan.

Tempoh berkempen pula ditetapkan selama dua minggu bermula 26 Februari sehingga 11.59 malam, 11 Mac 2022.

Seramai 2,597,742 pemilih layak mengundi pada PRN tersebut melibatkan 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan, 11,576 anggota polis dan pasangan serta 376 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.