Indeks Pelopor meningkat kepada 111.5 mata pada Disember 2021: DoSM

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A
KUALA LUMPUR - Prestasi Indeks Pelopor (IP) Malaysia pada Disember 2021 kekal positif, meningkat 2.1 peratus kepada 111.5 mata berbanding 109.2 mata pada Disember 2020, sekali gus menunjukkan prospek ekonomi yang lebih optimis pada bulan-bulan mendatang walaupun kes Covid-19 melonjak, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh peningkatan kukuh dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan.

"Di sebalik lonjakan kes Covid-19, Malaysia mengoptimumkan sumber penjagaan kesihatannya untuk mengekang penyebaran varian Omicron, berbanding pelaksanaan semula sekatan ekonomi atau sosial.

"Oleh yang demikian, ini membolehkan perniagaan mendapatkan semula momentumnya untuk memacu pemulihan ekonomi," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Berbanding dengan bulan sebelumnya, IP perlahan kepada 0.3 peratus pada Disember 2021 berbanding 1.6 peratus pada November 2021, disumbangkan oleh import benar semi konduktor (0.7 peratus) dan bilangan syarikat baru didaftar (0.5 peratus).

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada 113.9 mata pada Disember 2021 berbanding 111.4 mata pada Disember 2020.

"Indeks Serentak yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa menurun kepada perubahan bulanan negatif 0.3 peratus pada Disember 2021 (November 2021: 0.9 peratus).

"Penurunan dalam Indeks Serentak dipengaruhi terutamanya oleh penurunan 0.4 peratus dalam kapasiti penggunaan di sektor pembuatan,'’ kata Mohd Uzir.

Namun begitu, prestasi Indeks Serentak pada Disember 2021 mengatasi prestasi prapandemik dengan mencatatkan 100.4 mata, katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan: