Tiga lelaki ditahan bersama syabu dan pil kuda

Serbuan yang dilakukan pada Rabu menemui heroin, ganja dan pil kuda.
Serbuan yang dilakukan pada Rabu menemui heroin, ganja dan pil kuda.
A
A
A

PASIR MAS - Tiga lelaki yang terdiri daripada dua buruh dan penganggur di berkas dalam dua serbuan berlainan dengan penemuan dadah jenis syabu dan pil kuda, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 3.10 petang dengan penahan dua lelaki yang berada di dalam keadaan mencurigakan di hadapan pintu sebuah bank di sini.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati salah seorang suspek mengakui ada membuang barang salah semasa melarikan diri di tepi jalan sebuah pasaraya di kawasan tersebut.

"Dengan dipandu arah suspek, apabila sampai di lokasi tersebut, suspek berkenaan menunjukkan satu bungkusan plastik warna merah kuning yang berada tepi dinding di atas jalan.

"Setelah diperiksa, ia mengandungi 50 gram dadah jenis syabu dengan anggaran nilai RM7,560. Hasil siasatan, suspek pertama mengaku barang berkenaan adalah miliknya dan seorang lagi suspek adalah rakan dan juga pembeli barangan yang dijual.

"Bekalan syabu berkenaan dipercayai diperoleh daripada seorang kenalan yang bernama Pian yang tinggal di kawasan Golok, Thailand melalui pangkalan haram dengan harga RM1,000 untuk satu bar (50 gram). Ia kemudiannya dijual dengan harga RM1,200," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek masing-masing berusia 27 dan 26 tahun positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod lampau. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau juga memberitahu, tangkapan kedua pada hari yang sama itu pula melibatkan seorang penganggur berusia 29 tahun dalam satu serbuan jam 7.30 malam di tepi jalan Kampung Bendang Pauh, Jalan Besar menghala ke Tanah Merah, di sini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek ditahan semasa berada di atas sebuah motosikal dan siasatan awal menemui satu beg plastik berwarna kebiruan yang mengandungi 600 biji pil kuda dengan anggaran nilai RM6,000.

"Suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod lampau. Suspek mengaku dadah yang ditemui adalah miliknya dan mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki yang bernama 'Jeri' yang tinggal di Kampung Paya Mengkuang Tok Uban Pasir Mas," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Mohd Nasaruddin juga memberitahu, pihaknya juga menahan seorang lelaki jam 6 petang Rabu di sebuah rumah di Jalan Meranti Kubang Bemban, Pasir Mas, di sini.

"Suspek ketika itu berada di dalam bilik tidur rumah tersebut dan pihak kami telah menjumpai heroin seberat lapan gram, pil kuda sebanyak 125 biji dan ganja seberat 3.16 gram dengan nilai keseluruhan RM5,420.

"Suspek mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan mendapat bekalan daripada seorang lelaki bernama 'Jeme' yang tinggal di kawasan Kampung Meranti, di sini.

"Kes di klasifikasikan di bawah Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.