Ejen Meow di PRN Johor

Wan Normi Hasan
Wan Normi Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen Ejen Meow #RasuahBusters akan memulakan misi pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula Sabtu ini bagi menyemarakkan lagi usaha memerangi gejala rasuah di Malaysia.

Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan berkata, biarpun baru dilancarkan semalam, namun semangat dan iltizam Ejen Meow untuk berbakti kepada negara dan masyarakat tetap utuh.

Menurutnya, kempen antirasuah Ejen Meow akan digerakkan secara besar-besaran di PRN Johor bermula Sabtu ini sehingga hari pengundian pada 12 Mac nanti.

"Kempen Ejen Meow #RasuahBusters di PRN Johor adalah memberi kesedaran berterusan kepada orang ramai untuk menolak amalan rasuah, selain menjauhi sebarang sogokan atau 'duit kopi' yang cuba diberikan pada pilihan raya itu nanti.

"Usaha ini penting bagi memastikan pengundi di Johor memilih calon yang benar-benar bersih daripada amalan rasuah, tidak terlibat dengan penyalahgunaan kuasa serta berintegriti.

"Kempen bersama orang ramai ini akan digerakkan ke seluruh negeri Johor. Diharap usaha daripada seluruh gabungan Rasuah Busters ini dapat memberi manfaat untuk merealisasikan hasrat rakyat #MalaysiaTanpaRasuah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Ejen Meow yang diadakan di Kompleks Media Karangkraf di sini pada Khamis.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama rakan gabungan Rasuah Busters, Anas Zubedy yang merupakan Pengarah Urusan di Zubedy (M) Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Wan Normi berkata, pelbagai program dan aktiviti menarik akan diadakan sepanjang Ejen Meow di PRN Johor.

Menurutnya, acara simbolik pelancaran kempen itu adalah sesi memberi makan kepada kumpulan 'si bulus' terbiar di beberapa lokasi utama di Johor.

Jelasnya, sesi memberi makan tersebut akan memberi signifikasi bahawa mesej Ejen Meow akan mula bertapak di negeri selatan tanah air itu.

Selain itu katanya, kempen Ejen Meow akan mengedarkan sebanyak mungkin 'flyers' dan poster antirasuah kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

"Sesi bersama orang ramai akan diteruskan seperti mana yang telah dilakukan oleh rakan gabungan Rasuah Busters pada PRN Melaka dan siri jelajah Konvoi Rasuah Busters di beberapa buah negeri sebelum ini.

"Semoga usaha ini dapat memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengelak daripada terjebak dengan amalan rasuah, seterusnya memilih pemimpin yang bersih untuk menerajui negara," katanya.