PRN Johor: Hasni jadi 'poster boy', calon MB

Hasni dipilih sebagai 'poster boy' dan calon Menteri Besar Johor sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan.
Hasni dipilih sebagai 'poster boy' dan calon Menteri Besar Johor sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dipilih sebagai 'poster boy' Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Hasni yang akan kembali bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut (Parlimen Pontian) itu juga akan mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan.

"Jadikan dokongan bahawa kita akan mengemukakan 'poster boy' kita untuk mendapat perkenan dan terus dilantik sebagai Menteri Besar Johor iaitu Datuk Seri Hasni Mohammad.

"Insya-ALLAH siapa pun yang menjadi calon BN, semua parti-parti komponen akan bergerak bersama tanpa mengira parti mana kita datang. Kita juga akan bekerjasama dan mengenepikan perbezaan pendapat untuk memenangkan PRN kali ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRN Johor di Pejabat UMNO Negeri Johor di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan PRN Johor akan menyaksikan BN menggunakan pendekatan dengan mempertaruhkan 70 peratus calon muka baharu selain 80 peratus daripadanya mempunyai kelulusan akademik yang tinggi.

Pada majlis itu, Hasni selaku Pengerusi BN Johor telah menyatakan kesediaan parti untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor yang menyaksikan UMNO akan bertanding sebanyak 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), MCA (15 kerusi) dan MIC (empat kerusi).

Bagaimanapun, beliau pada majlis itu hanya mengumumkan sebanyak 41 nama calon dahulu iaitu daripada parti UMNO dan MIC kerana MCA masih belum memuktamad calon-calon mereka.

Artikel Berkaitan: