KUFC, Shonan Bellmare jalin kerjasama

KUFC menjalinkan kerjasama dengan Shonan Bellmare yang beraksi dalam saingan divisyen pertama Liga Jepun (Liga J) dalam usaha meningkatkan pembangunan Sang Kijang Hijau.
KUFC menjalinkan kerjasama dengan Shonan Bellmare yang beraksi dalam saingan divisyen pertama Liga Jepun (Liga J) dalam usaha meningkatkan pembangunan Sang Kijang Hijau.
A
A
A

KELAB Bola Sepak Kelantan United (KUFC) menjalinkan kerjasama dengan Shonan Bellmare yang beraksi dalam saingan divisyen pertama Liga Jepun (Liga J) dalam usaha meningkatkan pembangunan Sang Kijang Hijau.

Pengarah Eksekutif KUFC, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, kerjasama itu secara tidak langsung membuka dimensi baharu ke arah memperkasakan lagi pasukan pada masa hadapan.

"Kerjasama ini merangkumi pertukaran pemain untuk menjalani sesi latihan dan menimba seberapa banyak pengalaman daripada Shonan Bellmare.

"Selain itu, KUFC akan turut menghantar jurulatih daripada pasukan utama bertukar-tukar pandangan berkait dengan corak latihan, taktikal dan sebagainya untuk memantapkan lagi Sang Kijang Hijau," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurutnya, kerjasama pada peringkat pembangunan akar umbi pula melibatkan latihan bersama-sama selain menyertai kejohanan di negara berkenaan.

Beliau berkata, penyertaan ini bagi memastikan pemain remaja dapat mempelajari ilmu baharu dan gaya permainan bola sepak berkelas tinggi di Jepun.

Anas Karimi berkata, usaha sama dalam bidang perniagaan dan perkongsian maklumat termasuk penajaan turut dikongsikan antara kedua-dua belah pihak.

"Kata sepakat ini terhasil selepas perbincangan secara maya antara pengurusan tertinggi kedua belah pihak.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Ahli Lembaga Penasihat KUFC, Hiroshi Hamada yang turut merealisasikan hasrat dan visi kelab menerusi kerjasama ini," katanya.

Menurutnya, kerjasama itu merupakan satu pengiktirafan buat KUFC yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.