Perlu kerjasama pertingkat capaian internet kawasan pedalaman di Sabah

Jonneybone
Jonneybone
A
A
A

KOTA KINABALU - Digital Nasional Berhad (DNB) harus bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan di seluruh Sabah untuk menyediakan modul asas literasi internet khususnya kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonneybone J Kurum berkata, masalah jurang digital berlaku di Sabah disebabkan penyedia perkhidmatan internet (ISP) terlalu berorientasikan keuntungan dan lebih fokus kepada pembinaan infrastruktur jalur lebar di kawasan komersil berbanding di luar bandar.

"Rakyat negeri ini terpaksa membayar harga yang sama untuk mendapatkan akses internet jauh lebih lemah berbanding penduduk di Semenanjung," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Jonneybone yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, lesen ekslusif yang diberikan kepada DNB dilihat sebagai pilihan tepat berbanding sekiranya kerajaan membenarkan syarikat telekomunikasi untuk membida lesen spektrum 5G.

"Disebabkan pembangunan fasiliti tidak seimbang, kebanyakan kawasan di Sabah hanya berupaya memperoleh kelajuan jalur lebar setakat 5Mbps meskipun mereka melanggan pelan paling mahal di pasaran," katanya.

Beliau berkata, tatacara bermasyarakat telah berevolusi dengan pantas seiring dengan perkembangan teknologi apabila urusan seharian seperti bermesyuarat, memesan makanan dan pembayaran bil mula dilakukan secara dalam talian.

Katanya, urusan melalui aplikasi secara dalam talian akan terbatas sekiranya literasi digital dalam kalangan penduduk Sabah masih rendah.

"Di Kinabatangan, etnik Sungai terpaksa menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer untuk ke Kota Kinabalu bagi menjual hasil kraftangan mereka seperti tikar mengkuang, tudung saji dan gabang kayu.

Artikel Berkaitan:

"Akses serta literasi internet yang rendah menyebabkan urusan jual beli dalam talian masih asing bagi sebilangan besar penduduk di kawasan pedalaman Sabah," katanya.

Sehubungan itu, Jonneybone yang juga Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Telupid berkata, pembinaan infrastruktur jalur lebar adalah keperluan yang mesti digerakkan seiring dengan kefahaman masyarakat setempat terhadap internet.

"DNB harus bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan termasuklah kolej komuniti, GiatMara dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di seluruh Sabah untuk menyediakan modul asas literasi internet khususnya kepada masyarakat di kawasan pedalaman," katanya.