'Bayar dulu denda, baru hantar permohonan'

Laporan Sukan Sinar pada Rabu. Gambar kecil: Abdul Halim
Laporan Sukan Sinar pada Rabu. Gambar kecil: Abdul Halim
A
A
A

KEPIMPINAN baharu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dinasihati menjelaskan denda AS$15,000 (RM62,779.50) yang dikenakan terhadap badan induk sepak takraw negara tersebut terlebih dahulu sebelum mengemukakan sebarang permohonan menyertai semula Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Malah menurut Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader, ia berikutan kegagalan PSM mematuhi keputusan dan pembayaran denda diarahkan Jawatankuasa Tatatertib ASTAF sebelum ini yang perlu dibayar kepada badan induk sepak takraw Asia tersebut.

"Terlebih dulu bagai pihak ASTAF, saya ucapkan tahniah kepada kepimpinan baharu PSM yang diketuai Datuk Mohd Sumali Reduan, dan saya juga ingin maklumkan bahawa ASTAF telah pun menerima permohonan daripada kepimpinan baharu untuk menyertai semula gabungan ini.

"Namun di sini ingin saya jelaskan kembali bahawa permohonan daripada kepimpinan baharu PSM belum dapat dipertimbangkan sebaliknya kekal kerana badan induk tersebut masih belum menjelaskan denda AS$15,000 dikenakan selepas keputusan perbicaraan tatatertib ASTAF ke atas PSM pada 20 Mei 2021.

"Hukuman dikenakan terhadap PSM sebelum ini bersifat penyingkiran selepas salah seorang daripada kepimpinan tertinggi PSM terdahulu dibawa ke perhatian Jawatankuasa Tatatertib ASTAF dan seterusnya dipecat. Memandangkan PSM gagal mematuhi dapatan dan pembayaran balik, permohonan PSM tampak terlalu awal,” kata Halim," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Untuk rekod, PSM sebelum ini digugurkan keahlian daripada ASTAF dalam satu sesi pendengaran secara maya yang dihadiri panel antaranya dari India, Indonesia, Iran, Jepun dan Thailand pada 20 Mei lalu.

Keputusan juga menyaksikan badan induk sepak takraw negara itu turut dikenakan denda AS$15,000 sekiranya berhasrat membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan tersebut.

PSM dikenakan tindakan tersebut berikutan tindakan Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail yang juga Timbalan Presiden ASTAF pada ketika itu menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Abdul Halim juga mengesahkan ASTAF telah pun menerima permohonan daripada Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) diketuai Presidennya, Datuk Suhaili Abdul Rahman untuk menyertai gabungan tersebut.