Jangan pinggirkan mereka yang perlu perhatian istimewa

Siti Hasmah bergambar bersama wakil-wakil penerima sumbangan berjumlah RM163,000 kepada tiga pertubuhan dan badan kebajikan iaitu Malaysia Rare Disorders Society, Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM) dan Childline Malaysia hari ini. - Foto bernama
Siti Hasmah bergambar bersama wakil-wakil penerima sumbangan berjumlah RM163,000 kepada tiga pertubuhan dan badan kebajikan iaitu Malaysia Rare Disorders Society, Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM) dan Childline Malaysia hari ini. - Foto bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Masyarakat perlu meningkatkan keterlibatan dengan golongan yang kurang bernasib baik dan mereka yang memerlukan perhatian istimewa, kata isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menurutnya, masyarakat perlu tahu bahawa banyak keperluan di kalangan mereka perlu diberi perhatian daripada peringkat kanak-kanak hingga dewasa.

“Contohnya ada kanak-kanak menghidap dyslexia. Jangan biarkan terasing, hantar ke sekolah bersesuaian untuk mereka menerima rawatan, belajar membaca, faham keadaan sekeliling sebelum ke sekolah normal,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) merangkumi Malaysian Rare Disorders Society, Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM) dan Childline Malaysia di sini hari ini.

Dr Siti Hasmah berkata golongan istimewa seperti penghidap autisme dan dyslexia mampu berkembang dan mencapai kemajuan dalam kehidupan mereka jika mendapat rawatan dan bantuan sewajarnya.

“Jadi ibu bapa, guru dan Jabatan Kebajikan Masyarakat misalnya perlu faham keadaan ini. Jangan diam tidak buat apa-apa,” katanya.

Beliau seterusnya menarik perhatian bahawa ada komuniti golongan kurang bernasib baik dan kurang upaya yang tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti kebajikan dan menubuhkan persatuan tanpa terlalu mengharapkan bantuan kerajaan.

“Mereka ini ada yang mempunyai anak, cucu dan ahli keluarga yang kurang upaya dan terpanggil untuk menubuhkan persatuan untuk membantu orang lain,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Siti Hasmah meluangkan masa berbual, bergambar dan menyanyi bersama jemputan yang hadir. - Bernama
Artikel Berkaitan: