Sila log masuk terlebih dahulu.

Sindiket penyeludupan tumpas, barangan RM7.5 juta dirampas

Kotak rokok dan kenderaan yang dirampas dalam operasi kontraban di Sri Petaling.
Kotak rokok dan kenderaan yang dirampas dalam operasi kontraban di Sri Petaling.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 13 individu disyaki terlibat sindiket penyeludupan ditahan dalam lima serbuan di Terengganu, Johor dan Selangor sejak 20 Januari hingga Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi dilaksanakan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Johor dan Selangor itu berjaya merampas pelbagai barangan seludup mencecah RM7.5 juta.

"Kes pertama pada 20 Januari lalu, seramai tiga lelaki ditahan dan 6,630 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM1.9 juta serta empat kenderaan dirampas.

"Menerusi tangkapan itu, satu sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Terengganu berjaya ditumpaskan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hazani berkata, kes kedua pada 9 Februari lalu, empat lelaki ditahan dan 150 liter diesel bersama sebuah lori bernilai RM100,500 dirampas di Selangor.

"Kesemua suspek bersama barang rampasan itu ditahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Menurutnya, kes ketiga pada hari sama pula, empat lelaki ditahan dan 13 kilogram (kg) daging hidupan liar bernilai RM1,200 yang dijual di premis menjual makanan di Selangor dirampas.

Antara kenderaan yang dirampas dalam operasi kontraban di Terengganu.
Antara kenderaan yang dirampas dalam operasi kontraban di Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Operasi Bersepadu Khazanah dengan kerjasama bersama Jabatan Perhilitan ini dilaksanakan bagi memastikan khazanah negara sentiasa dilindungi," katanya.

Beliau berkata, kes keempat di bawah Op Kontraban, pihaknya menumpaskan sindiket memproses dan membekalkan minuman keras tiruan yang beroperasi di Johor pada Selasa.

"Dalam serbuan itu, seorang lelaki ditahan dan polis merampas 2,096 liter cecair yang dipercayai arak tiruan bernilai lebih RM580,000.

"Turut dirampas peralatan memproses arak tiruan seperti mesin pengedap penutup botol dan mesin penyedut air," katanya.

Katanya, bagi kes terbaru yang dilaksanakan pada Selasa, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan dalam serbuan di Sri Petaling.

"Sebanyak 24 juta batang rokok pelbagai jenama dirampas bersama sebuah kenderaan.

"Kes ini adalah rampasan terbesar bagi awal tahun ini dengan nilai rampasan lebih RM5.06 juta," katanya.