PSM cari jalan damai dengan ASTAF

Sumali (tengah) bersama barisan kepimpinan baharu PSM selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sumali (tengah) bersama barisan kepimpinan baharu PSM selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) sedia melipatgandakan usaha untuk diterima kembali menjadi ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dalam masa terdekat.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, PSM di bawah kepimpinan baharu akan meneruskan inisiatif perbincangan dan langkah perdamaian bersama badan induk sepak takraw Asia tersebut.

“Bagi tujuan itu, PSM akan membuat permohonan rasmi bagi menyertai semula ASTAF sebagai ahli gabungan yang sah dalam masa terdekat.

”Permohonan ini juga mengambil kira pengiktirafan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terhadap PSM sebagai badan induk bagi sukan sepak takraw negara.

“PSM yakin kepimpinan tertinggi ASTAF akan meneliti dan membuat penilaian sewajarnya terhadap permohonan semula PSM untuk kembali menyertai badan induk sepak takraw Asia tersebut.

“Permohonan untuk menyertai semula Keluarga ASTAF tidak lain tidak bukan adalah bagi memastikan kedua-dua entiti ini dapat bersama-sama memacu usaha pembangunan sukan sepak takraw di rantau Asia,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM pada Selasa.

ASTAF menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah susulan tindakan bekas presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari 2021.

ASTAF melihat tindakan itu jelas melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Artikel Berkaitan:

Kemelut pentadbiran sepak takraw negara terus ‘panas’ apabila Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) meluluskan penubuhan Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Sumali mengumumkan pelantikan Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) Zuraidin Abdullah sebagai Naib Presiden Empat dalam usaha memperkasa badan induk itu.

“Datuk Abidullah Salleh dilantik sebagai Setiausaha Agung dibantu Penolong Setiausaha Satu, Yusoff Ali dan Penolong Setiausaha Dua, Mohd Jaffrey Mohd Zainol, manakala jawatan Bendahari masih kosong,” jelasnya.

Pada masa sama, Sumali memberitahu, badan induk itu telah meluluskan permohonan Jabatan Penjara Malaysia untuk menjadi Ahli Bersekutu PSM yang baharu.

“Dengan kemasukan Jabatan Penjara Malaysia, jumlah ahli gabungan dan bersekutu yang masih bernaung di bawah PSM adalah 15 keahlian setakat ini,” katanya.