Dakwaan wujud kartel dalam PDRM tidak dapat ditentusahkan: EAIC

Mohd Sidek ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Sedekad Penubuhan EAIC dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang EAIC 2020 di PICC pada Khamis.
Mohd Sidek ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Sedekad Penubuhan EAIC dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang EAIC 2020 di PICC pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak dapat menentusahkan kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepertimana yang didedahkan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, dakwaan Abdul Hamid bahawa ada gerakan untuk menjatuhkan beliau dan bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka tidak dapat ditentusahkan.

“EAIC mengumumkan telah selesai menjalankan siasatan berhubung pendedahan Abdul Hamid. Dapatan siasatan dan keputusan EAIC telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi berserta dokumen yang diperoleh EAIC tidak dapat menentusahkan kewujudan kartel dalam PDRM sebagaimana yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Abdul Hamid pada sidang akhbar terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara April lalu mendedahkan wujudnya gerakan dalaman membabitkan pegawai muda dalam PDRM yang bercita-cita menjatuhkan beliau.

Kata Abdul Hamid, gerakan itu juga membabitkan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalaman PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Mengulas lanjut, Mohd Sidek berkata, siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM yang terlibat dalam kegiatan sindiket jenayah yang mana siasatan telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM ke atas pegawai tersebut.

Menurut Mohd Sidek, dakwaan Abdul Hamid bahawa pegawai-pegawai tersebut dapat mencaturkan perjawatan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan kerana melalui keterangan, mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat, pertukaran yang diamalkan melibatkan proses yang teliti.

Artikel Berkaitan:

“Ia mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi dan dicampur tangan oleh pihak luar,” katanya.

Dalam masa sama, jelasnya, KPN merupakan ahli tetap dalam Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan sebarang cadangan pelantikan, kenaikan pangkat, pertukaran pegawai kanan PDRM kepada SPP perlu mendapat persetujuan daripada beliau.

Tambah beliau, kedudukan Abdul Hamid selaku KPN tidak dapat digugat kerana pelantikan KPN adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri.