LHDN, CGSO jalin kerjasama tingkat keselamatan perlindungan

LHDN menjalin kerjasama dengan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) bagi meningkatkan tahap keselamatan perlindungan.
LHDN menjalin kerjasama dengan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) bagi meningkatkan tahap keselamatan perlindungan.
A
A
A

CYBERJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjalinkan kerjasama dengan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) bagi meningkatkan tahap keselamatan perlindungan di LHDN.

Melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara LHDN dan CGSO pada Selasa, usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan perlindungan di LHDN akan dilaksanakan melalui inspektorat secara dalaman oleh LHDN dan inspektorat anugerah khas oleh CGSO.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Wan Ramiza Wan Ghazali berkata, selaku pentadbir cukai negara, LHDN perlu memastikan segala maklumat percukaian, aset dan premisnya sentiasa terpelihara keselamatan perlindungannya serta tidak boleh terdedah dengan risiko dan gangguan keselamatan tidak terkawal.

"Kami berhasrat untuk mencapai satu tahap yang boleh menjamin keutuhan perlindungan terhadap keselamatan maklumat dan dokumen rahsia rasmi termasuklah dokumen percukaian mengandungi maklumat sulit pembayar cukai,” katanya pada majlis pemeteraian MoU itu di sini.

Wan Ramiza yang menandatangi MoU itu bagi pihak LHDN berkata, LHDN menetapkan sasaran untuk mencapai pengiktirafan tahap keselamatan cemerlang atau penarafan keselamatan lima bintang oleh CGSO di semua premisnya dalam hal keselamatan perlindungan.

"LHDN sememangnya menjalankan inspektorat keselamatan perlindungan secara dalaman dari semasa ke semasa di semua premis kami, namun tanpa inspektorat anugerah khas dijalankan oleh CGSO, aspirasi untuk mendapat pengiktirafan dan penarafan cemerlang tidak dapat direalisasikan," katanya.

Wan Ramiza berkata, MoU itu juga membawa manfaat kepada LHDN kerana CGSO akan berkongsi kepakaran dan ilmu pengetahuan mereka berkaitan keselamatan perlindungan melalui penganjuran kursus dan latihan.

Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Rahimi Ismail yang menandatangani MoU itu bagi pihak CGSO berkata, LHDN menjadi agensi ‘anak angkat’ pertama CGSO dengan matlamat memastikan aspek keselamatan perlindungan dipatuhi sepanjang masa.

"Faktor keselamatan perlindungan adalah antara tonggak penting menjadi asas kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Apabila berlaku ketidakpatuhan kepada aspek keselamatan perlindungan, ia boleh memberikan impak besar kepada jabatan dan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Melalui kerjasama LHDN dan CGSO, Rahimi berkata CGSO akan menganjurkan kursus keselamatan perlindungan khas bagi pegawai LHDN menerusi Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia (ILKEM).

CGSO adalah penggubal dasar berkaitan pengurusan keselamatan perlindungan dan ia berfungsi untuk menangani sebarang ancaman sabotaj yang boleh menjejaskan fungsi kerajaan dan kepentingan negara. - Bernama