MH370: Malaysia tidak boleh bertindak secara unilateral

Wee Ka Siong (empat dari kiri) melawat ruang pameran selepas Pelancaran Minggu Maritim Malaysia 2022 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
Wee Ka Siong (empat dari kiri) melawat ruang pameran selepas Pelancaran Minggu Maritim Malaysia 2022 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak boleh bertindak secara unilateral dalam usaha pencarian pesawat hilang MH370 walaupun terdapat dakwaan petunjuk baharu mengenai lokasi pesawat itu berdasarkan dokumen kajian Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Malaysia sebaliknya perlu berbincang dengan kerajaan China dan Australia seperti perjanjian dan persefahaman yang dibuat tiga negara itu dalam misi pencarian pesawat berkenaan.

"Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, kita perlu mengesahkan penemuan itu daripada badan yang kompeten. Bukti yang boleh dipercayai mesti ditemui.

"Seperti mana yang kita gunakan, sekiranya terdapat bukti yang boleh dipercayai, bukti kukuh, maka kita tidak keberatan untuk teruskan (misi pencarian).

"Ini adalah persefahaman tiga negara. Tidak boleh ditentukan secara unilatreral oleh Malaysia. Terdapat perjanjian tiga pihak. Tiga negara telah bekerja keras (misi pencarian), apa-apa misi kita perlu berbincang antara tiga negara,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia (MMW) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan sebelum ini, menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan ATSB mengenai dokumen dikeluarkan jurutera aeronautik Britain, Richard Godfrey yang mendakwa terdapat petunjuk baharu dalam mengenal pasti lokasi MH370 yang hilang.

ATSB sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah meminta pihak ketiga untuk menyemak data yang diperoleh daripada carian untuk mengesahkan semula bahawa tiada item yang menarik dikesan dalam carian sebelumnya berdasarkan dokumen Godfrey, ‘MH370 Flight Path’.

Menurut ATSB lagi, penemuan semakan itu dijangka dikeluarkan dalam beberapa minggu lagi dan menyatakan bahawa sebarang keputusan untuk menjalankan pencarian lanjut pesawat MH370 akan menjadi urusan kerajaan Malaysia dan ATSB tidak mengetahui sebarang permintaan untuk menyokong pencarian baharu untuk pesawat yang hilang itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: