Pembukaan sempadan: KKM proses akhir muktamad SOP

KKM dalam proses akhir untuk memuktamadkan SOP pembukaan sempadan negara. - Gambar hiasan
KKM dalam proses akhir untuk memuktamadkan SOP pembukaan sempadan negara. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses akhir untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam pembentangan pada mesyuarat MPN.

"SOP ini akan dikemukakan untuk persetujuan jemaah Menteri dan diumumkan dalam masa terdekat," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini, pada Selasa.

Menurutnya, MPN mengambil maklum kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil kira pandangan pihak majlis supaya mempercepatkan pembukaan sempadan.

"Jangan lambat, lambat sehari kos kerugian yang ditanggung negara adalah amat besar, cepat buka, untung banyak," katanya.

Beliau berkata, Malaysia sebagai negara 10 terbaik dalam program vaksinasi Covid-19 seharusnya mengambil langkah segera membuka sempadan.

"Negara-negara lain contohnya, Australia telah membuka sempadan mereka hari ini sedangkan negara itu terkebelakang dari segi vaksinasi berbanding Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun penularan Omicron menyebabkan peningkatan kes yang tinggi, namun KKM telah memberi jaminan pihaknya mampu menguruskan kes berdasarkan kapasiti sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Soal Omicron seluruh negara menghadapi masalah dan kes serius tidak banyak hanya sekitar 0.3 peratus sahaja. Kapasiti unit rawatan rapi (ICU) juga tidak terkesan," katanya.

Sebelum ini, MPN mengesyorkan pembukaan sempadan dilaksanakan pada 1 Mac lalu, bagaimanapun Ismail Sabri berkata, ia belum boleh dilaksanakan kerana memerlukan penelitian lanjut.