Sindiket edar minuman keras tidak bercukai tumpas

PPM Pelabuhan Klang menumpaskan kegiatan pengedaran minuman keras tidak bercukai dalam serbuan di Taman Klang Jaya, Klang pada Isnin.
PPM Pelabuhan Klang menumpaskan kegiatan pengedaran minuman keras tidak bercukai dalam serbuan di Taman Klang Jaya, Klang pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan kegiatan sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai dengan rampasan bernilai lebih RM600,000 menerusi serbuan di Taman Klang jaya di sini, pada Isnin.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, serbuan Ops Kontraband oleh sepasukan PPM Pelabuhan Klang kira-kira jam 12 tengah hari itu berjaya menahan tiga lelaki berusia 23 hingga 32 tahun yang disyaki berperanan sebagai transporter.

Menurutnya, semakan mendapati seorang daripada suspek adalah warga India.

"Ketika serbuan, ketiga-tiga suspek sedang memunggah minuman keras tidak bercukai itu ke dalam lori.

"Dianggarkan nilai rampasan minuman keras terbabit berjumlah kira-kira RM653,534," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati minuman tidak bercukai itu akan diedarkan ke pasaran tempatan.

Tambah Shamsol, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sejak bila kegiatan terbabit aktif.

"Kesemua tangkapan serta barang rampasan telah dibawa balik ke pangkalan PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1859/63," ujarnya.

Artikel Berkaitan: