Set barang basah RM10 dapat sambutan

Wan Mustafa (kanan) bersama pekerja menunjukkan set jimat yang dijual di kedainya.
Wan Mustafa (kanan) bersama pekerja menunjukkan set jimat yang dijual di kedainya.
A
A
A

BESUT - Niat mahu membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan basah dengan harga mampu milik mendorong seorang peniaga di Kampung Kerandang, di sini menjual set jimat dengan harga serendah RM10.

Wan Mustafa Wan Nawang, 29, berkata, set barangan basah seperti sotong, udang, ketam dan pelbagai jenis ikan itu dijual lengkap bersama sayur, cili dan mi bermula dua minggu lalu kepada penduduk sekitar.

Set siakap tiga rasa yang berharga RM13.
Set siakap tiga rasa yang berharga RM13.

“Ketika itu musim hujan, jadi penduduk di sini yang rata-rata bekerja kampung sebagai penoreh getah dan penanam padi tidak dapat mencari rezeki sekaligus menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

“Jadi timbul idea untuk jual makanan laut mahal seperti sotong dan udang yang biasa berharga RM20 hingga RM30 sekilogram secara set supaya mereka dapat beli dan masak di rumah walau ada wang hanya RM10 dalam poket.

“Saya faham, ada pelanggan yang malu untuk minta beli barang basah dalam kuantiti sikit, jadi jualan set jimat ini usaha saya membantu mereka berbelanja mengikut kemampuan mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini pada Isnin.

Set udang bersama sawi dan mi dijual pada harga RM10.
Set udang bersama sawi dan mi dijual pada harga RM10.

Antara set jimat berharga RM10 yang dijual Wan Mustafa adalah sotong bersama mi, sawi atau taugeh; potongan ikan ebek bersama bendi, tomato dan rempah kari; udang, mi dan sawi; ikan selayang, terung, timun dan budu, serta ketam, mi dan taugeh.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut menjual set ikan siakap stim lengkap dengan tomato, serai, daun ketumbar, cili dan bawang jeruk dengan harga RM13 dan set seekor tenggiri seberat lebih 600 gram bersama bendi, santan, tomato dan rempah hari dengan harga RM35.

Menurut Wan Mustafa, jualan bergantung kepada bekalan dan harga barang basah semasa dan set jimat yang juga diadakan sempena ulang tahun kedua kedainya, Darul Falah Fresh Mart itu dipromosikan secara dalam talian melalui facebook.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka ia mendapat sambutan luar biasa bukan hanya dari kalangan penduduk setempat malah dari kawasan luar seperti Kampung Padang Luas dan Kuala Besut.

Antara set ikan yang mendapat sambutan pelanggan.
Antara set ikan yang mendapat sambutan pelanggan.

“Kedai saya di kampung tapi ada yang sanggup datang sejauh 15 kilometer semata-mata mahu mendapatkan set ini dan rata-rata mereka meluahkan rasa puas hati dengan harga yang saya tawarkan kerana lebih jimat serta berbaloi.

“Saya mampu menjual 50 set setiap hari biasa dan jumlahnya meningkat kepada 100 set pada hari minggu. Kedai dibuka pada jam 9 pagi hingga 6.30 petang tapi biasanya semua set habis dijual sekitar jam 2 petang,” katanya.

Wan Mustafa mengakui jualan tersebut tidak memberi keuntungan tinggi namun gembira kerana barang sentiasa habis setiap hari di samping dapat membantu orang ramai yang bergelut dengan kenaikan harga barangan.

Set ikan tenggiri berharga RM35 dijual lengkap bersama santan, bendi, tomato dan rempah kari.
Set ikan tenggiri berharga RM35 dijual lengkap bersama santan, bendi, tomato dan rempah kari.

“Lebih penting, saya dapat berniaga sambil bersedekah dan kami turut memberi sebungkus mi percuma kepada 100 pelanggan pertama pada setiap hari Jumaat melalui program infaq sejak setahun lalu.

“Melihat reaksi positif pelanggan, saya merancang untuk meneruskan jualan set jimat ini dengan mempelbagaikan jenis barangan basah lain pada masa akan datang,” katanya.