Muda tidak letak calon di kerusi ditandingi PKR, Amanah, DAP

Syed Saddiq - Foto Bernama
Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A
A

SEGAMAT - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak akan meletakkan calon di kerusi yang akan ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan berlaku pertembungan kerusi sekali gus menghormati parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

"Kita hanya akan bertanding di kerusi yang sebelum ini dimenangi UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Kita akan cuba mencari kata sepakat. Kita akan bantu mereka sebaik mungkin. Kita mahukan parti-parti pembangkang menang dan mahukan perubahan di peringkat negeri Johor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan tiga calon baharu parti itu yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Bukit Kepong dan Tenang, di Taman Soon Chong, Labis, dekat sini pada Isnin.

Azrol Rahani akan bertanding di kerusi DUN Bukit Permai, Nurafiqah M Zulkifli (DUN Bukit Permai) dan Lim Wei Jiet (DUN Tenang).

Pada Ahad, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap melancarkan jentera PH Johor di Kulai, mengharapkan Muda akan terus berada dalam blok PH bagi menghadapi PRN Johor.

Anwar yang juga Presiden PKR yakin, kerjasama politik itu akan terjalin dan Muda akan memberi maklum balas positif walaupun sebelum ini berlaku masalah pembahagian kerusi DUN antara PKR dan Muda.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, penyertaan Muda bersama-sama PH dalam PRN Johor adalah untuk menghentikan kegilaan UMNO yang menerusi teori domino mereka iaitu mahu menjatuhkan kerajaan di beberapa negeri.

"Kita akan menghentikan politik domino yang dilakukan UMNO iaitu satu persatu kerajaan negeri dibubarkan sehingga tidak ada kestabilan politik langsung, politik kucar-kacir dan rakyat diheret ke kancah politik yang tidak habis-habis.

"Selepas ini (jika BN menang dalam PRN Johor) mereka dikatakan akan ke Kedah, Perak dan Sabah (untuk mengadakan PRN), sampai bila nak berhenti? Kita akan berikan tawaran sebaik mungkin kepada rakyat Johor," katanya.

Tambah beliau, Muda akan bekerjasama dengan pihak yang mempunyai aspirasi sama iaitu mahukan perubahan dalam memartabatkan rakyat berbilang kaum dan agama serta berfahaman moderat.