Piala Dunia masih jauh

Skuad Harimau Malaya kini dalam misi melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023.
Skuad Harimau Malaya kini dalam misi melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023.
A
A
A

IMPIAN pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon membawa skuad bimbingannya ke pentas Piala Dunia suatu hari nanti dianggap bukan sesuatu yang mustahil.

Sembilan slot jadi rebutan pada Piala Dunia selepas saingan di Qatar hujung tahun ini dengan kemungkinan salah satu tiket mampu dimiliki skuad Harimau Malaya.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, beliau ‘menyambut baik’ sasaran ditetapkan pengendali dari Korea Selatan yang dianggapnya mempunyai misi dan visi jelas.

Bagaimanapun, Jamal Nasir lebih gemar ‘berpijak di bumi nyata’ dengan berharap Harimau Malaya mampu kembali ‘mengaum’ di pentas Asia terlebih dahulu.

“Untuk layak ke Sukan Olimpik pun dah cukup susah, jadi sekarang kena fikir di (peringkat) Asia Tenggara pun (kita) tak lepas, nak cerita Piala Dunia, memang sasaran itu terlalu jauh buat masa ini.

“Dia (Pan-gon) orang luar dan baru datang ke sini, tentu dia nak kagumkan kita dengan matlamat atau visi dia. Itu tak salah, cuma bagi saya terlalu awal untuk kita bercerita tentang Piala Dunia.

“Berjaya atau tidak, kita tengok dalam tempoh dua tahun ini. Jika dapat ‘lawan’ gergasi Asia seperti Iran, Iraq, Korea Selatan mahupun Jepun, baru boleh cerita ke Piala Dunia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Kim Pan-gon
Kim Pan-gon

Dalam sidang akhbar pertamanya pada Khamis lalu, Pan-gon seakan-akan memberi gambaran misinya untuk membawa Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Dunia suatu hari nanti.

Bagaimanapun, Pan-gon menegaskan dia perlu membina asas yang kukuh terlebih dahulu termasuk membantu dari aspek pembangunan pemain muda.

Mengulas lanjut, Jamal Nasir berkata, banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan Pan-gon dalam usahanya memperbaiki semula reputasi Harimau Malaya.

“Apa yang saya katakan ini adalah mengikut fakta, bukan kerana tak suka. Saya memang suka kalau Pan-gon mampu bawa skuad kebangsaan kita ke Piala Dunia.

“Tetapi buat masa ini, biarlah kita bercakap dalam suasana bola sepak Malaysia. Masih banyak yang perlu diperkemas sebelum kita mampu kembali setanding gergasi Asia,” jelasnya.