Impian 20 tahun tertunai

Budiman (kiri) bersama Mohd Roslan bergambar selepas Majlis Konvokesyen Khas OUM di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Sabtu. - Foto Bernama
Budiman (kiri) bersama Mohd Roslan bergambar selepas Majlis Konvokesyen Khas OUM di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengalaman menemu bual 12 orang tokoh politik antara tugasan yang tidak boleh dilupakan oleh Datuk Budiman Zohdi, 50, dalam misinya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan (Sastera) Sains Politik di Open University Malaysia (OUM).

Dalam Majlis Konvokesyen Khas OUM yang diadakan di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu, Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia itu mengakui seringkali tertidur dengan alat dengar di telinga ketika menyiapkan tugasan berkenaan yang memerlukan suara lisan ditaip semula di komputer.

“Mencuri masa untuk menulis adalah satu lagi kemahiran yang saya pelajari. Setiap hari selama dua jam, saya mengajar diri untuk konsisten meneliti proses penyiapan PhD sebelum melaksanakan tugasan hakiki,” katanya ketika berucap pada majlis berkenan pada Sabtu.

Budiman berucap pada Majlis Konvokesyen Khas OUM di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Sabtu. - Foto Bernama
Budiman berucap pada Majlis Konvokesyen Khas OUM di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Sabtu. - Foto Bernama

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen itu berkata, tidak ramai yang tahu tentang cita-citanya mahu memperoleh Ijazah Doktor Falsafah sejak berusia 30 tahun.

“Hanya 20 tahun selepas itu barulah saya berjaya melunaskan impian tersebut dan kini pada usia setengah abad, saya berada di pentas ini menerima ijazah di peringkat doktor falsafah.

“Keputusan SPM saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Selangor tidak begitu memuaskan tapi saya dapat lanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di Politeknik Kota Bahru, Kelantan.

“Memang cemburu lihat rakan-rakan lebih awal melangkah kaki ke universiti di peringkat ijazah, saya simpan hasrat untuk jadi lebih baik sehinggalah saya berjaya memperoleh ijazah sarjana pada tahun 2001,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Budiman merupakan antara 42 penerima ijazah doktor falsafah dan kedoktoran yang menerima skrol masing-masing pada Sabtu.

Azman (kanan) menyampaikan penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah (Sastera) kepada Budiman pada Majlis Konvokesyen Khas OUM di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Sabtu. - Foto Bernama

Sementara itu, graduan lain adalah penerima ijazah (1,690), ijazah sarjana muda (4,768) dan diploma (1,049).

Penyampaian skrol disempurnakan oleh Pro Canselor OUM, Tan Sri Azman Hashim.

Majlis turut menyaksikan penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah (Sastera) kepada salah seorang lagi graduan sulung, Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir.